DUCATI Desmosedici GP22 Terbaik Setakat Ini - Pecco Bagnaia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/14/20241 min read


FRANCESCO Bagnaia merangkul gelaran dunia MotoGP pertamanya bersama Ducati pada musim 2022 dan menariknya, berjaya mengatasi defisit besar ketinggalan 91 mata di belakang pelumba Yamaha, Fabio Quartararo sebelum menang.
Mengulangi kejayaan yang diraihnya itu pada 2023 selepas bersaing sengit dengan Jorge Martin, pelumba Ducati Lenovo itu sekali lagi dipaksa bekerja keras musim ini.
Selepas merampas kedudukan pendahulu sebelum rehat musim panas, kedudukan itu sekali lagi dirampas oleh Martin daripada pelumba kelahiran Itali itu menuju aksi di Red Bull Ring, minggu ini.
Dan ketika ditanya mengenai jentera terbaik ditunggangnya dalam kempen MotoGP menjelang aksi di Austria, pelumba dengan panggilan Pecco itu mengakui Ducati Desmosedici GP22 sebagai pilihannya.
"GP24 adalah gabungan daripada GP22 dan GP23," kata Pecco memetik laporan Crash.com. "Tetapi saya fikir GP22 masih yang teratas untuk saya ketika ini. Bagi saya ia adalah yang terbaik pernah saya ada di MotoGP."
Bakal bergandingan dengan juara dunia lapan kali, Marc Marquez bermula musim depan - gandingan yang disifatkan bos Ducati Corse, Gigi Dall’Igna sebagai pasukan terbaik di dunia, Pecco begitupun menyatakan ia mampu memberi dua kemungkinan sama ada terlalu bagus atau malapetaka.
"Saya fikir ia boleh menjadi terlalu bagus atau malapetaka. Jadi kami perlu melihat pada tahun depan apabila kami bermula," kata Pecco. "Adakah ia akan menjadi malapetaka jika kami memulakannya dengan jeritan atau kami memulakannya dengan mengadakan beberapa 'perbincangan'.
"Tetapi saya fikir kami berdua amat bijak dan dia (Marquez) akan mengadaptasi dengan sempurna."
Mengulas lanjut, Pecci sekali lagi menekankan yang ketiadaan Martin (Aprilia), Enea Bastianini (Tech3 KTM) dan Marco Bezzecchi (Aprilia) musim depan sebagai 'kehilangan besar' kepada Ducati.
"Untuk hilang tiga pelumba seperti mereka adalah satu kehilangan yang besar kerana kamu membenarkan pengeluar lain mempunyai tiga pelumba yang amat laju," kata Pecco.
"Kami akan memperoleh tiga lagi pencabar, dan tanpa sebarang akses untuk melihat data mereka."
