DUCATI Diavel V4 Rangkul Anugerah Red Dot Kategori 'Best of the Best' 2024

TERKINI

6/10/20241 min read

DUCATI terus membuktikan kepakarannya dari sudut reka bentuk apabila menggondol anugerah berprestij membabitkan rekaan, Anugerah Red Dot dalam kategori “Best of the Best” menerusi Ducati Diavel V4.

Untuk Ducati, ini adalah kali keempat pengeluar motosikal premium Itali itu memenangi anugerah yang disifatkan sebagai pengiktirafan tertinggi 'Terbaik dari yang terbaik' dalam pertandingan reka bentuk antarabangsa itu.

Sebelum ini, pengeluar berpangkalan di Bologna, Itali itu pernah memenangi kategori sama pada 2013 menerusi Ducati 1199 Panigale, Ducati XDiavel pada 2016 dan Ducati Diavel 1260 pada 2019.

Menurut Red Dot, kategori “Best of the Best” dikhaskan untuk rekaan yang mampu menetapkan standard baharu atau penanda aras dalam industri dan dinilai oleh juri yang cukup pakar dalam rekaan produk.

Sebagai info, Ducati Diavel V4 adalah model generasi terbaharu Diavel yang kini dipadankan dengan trenkuasa Granturismo V4.

Ketika dilancarkan, Ducati Diavel V4 sudah pun berjaya memperoleh anugerah Motosikal Tercantik EICMA pada tahun 2022.

Kepada yang tak tahu, Ducati Diavel adalah penawaran Ducati dalam segmen 'Kruiser' dan bukannya 'Naked'. Ia membuat debut pada tahun 2010 diikuti generasi kedua pada 2015.

Dari sudut rekaan, Ducati Diavel V4 kekal gagah, maskulin dan menariknya, moden. Paling menarik dan membuatkannya ia menggondol anugerah di EICMA 2022 adalah rekaan bahagian belakang terutama lampu dengan corak sarang lebah yang nampak cukup sofistikated.

Majlis Anugerah Red Dot 2024 dijadual berlangsung pada 24 Jun depan di Aalto Theater di Essen, Jerman.

Para pemenang setiap kategori juga akan mempamerkan produk mereka di muzium Red Dot di Zollverein, yang juga terletak di Essen yang sudah pun disenarai sebagai tapak warisan dunia UNESCO.

Sebagai info, Ducati Diavel V4 (2024) sudah pun berada di pasaran Malaysia dan diperkenalkan bersama harga jualan menarik bermula RM 178,900 (asas).