'DUCATI Gemar Beri Tekanan Kepada Pelumba' - Casey Stoner

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/6/20231 min read

CASEY Stoner - pelumba yang pernah menghadiahkan Ducati kejuaraan dunia MotoGP menuduh pengeluar Itali itu gemar memberikan tekanan kepada barisan pelumbanya.

Kejayaan yang diraih Stoner pada 2007 adalah kejuaraan dunia terakhir dimenangi Ducati sebelum 'sumpahan' itu ditamatkan oleh Francesco Bagnaia pada musim lalu.

Sepanjang 15 tahun sejak kejayaan Stoner, Ducati mengharungi kempen mengecewakan yang turut menyaksikan beberapa nama besar seperti Valentino Rossi, Andrea Dovizioso dan Jorge Lorenzo kecundang.

Dan melihat kepada perebutan kejuaraan pada musim ini, Stoner yang pernah menjulang gelaran dunia bersama Honda berkata dia masih melihat perkara yang tidak digemarinya dari pasukan itu.

"Apabila mereka mula pergi ke setiap paddock pasukan mereka, ia bukan sekadar meminta rakan sepasukan 'Jangan memberikan sebarang masalah kepada rakan sepasukan kamu, kekal di belakang'," kata Stoner dalam laporan Crash.net memetik laporan TNT Sport.

"Ia adalah keseluruhan pengeluar yang mereka kawal. Saya tidak gemar melihatnya, dan saya tahun Pecco tidak mahukannya juga.

"Saya dapat memahami perasaan Pecco. Mereka meletakkan banyak tekanan kepada situasi. Mereka patut lebih banyak belajar untuk menjadi lebih baik mengenainya.

"Mereka tak hebat dari sudut mengendalikan pelumba-pelumba, dan memahami tekanan yang mereka lalui. Mereka berfikir dalam dimensi mereka.

"Mereka sudah lama mempunyai jentera terbaik tetapi masih bergelut untuk memenangi kejuaraan sehinggalah tahun lalu, dan tahun ini. Ia bukan hanya membabitkan jentera. Ia mengenai cara program mereka dikendalikan.

"Mereka patut memberikan lebih banyak kredit kepada pelumba-pelumba. Biar mereka berkata sesuatu. Dan mengurangkan tekanan, bukan menambah."

Topik 'Arahan pasukan' sekali lagi hangat diperkatakan menuju baki pusingan musim ini termasuk di Grand Prix Malaysia 2023, hujung minggu ini.

Ducati memang tidak akan terlepas kejuaraan dunia musim ini dengan ketiga-tiga pelumba yang menghuni carta teratas dan masih berpeluang secara matematik - Bagnaia, Jorge Martin dan Marco Bezzecchi - kesemuanya pelumba menggunakan jentera Ducati.

Setakat ini, tiada sebarang petanda membabitkan 'Arahan pasukan' tetapi tiada siapa dapat mengagaknya.