DUCATI GP23 Akan Terus Ditambah Baik - Ducati Corse
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/8/20241 min read


TIDAK seperti musim lalu, tiada satu pun jentera MotoGP Ducati bukan spesifikasi terkini berjaya memenangi perlumbaan musim ini selepas 10 pusingan berlangsung.
Daripada 10 pusingan, Ducati memenangi sembilan perlumbaan utama dan sembilan Perlumbaan Sprint menerusi tiga pelumbanya yang kesemuanya menggunakan GP24, Francesco Bagnaia, Jorge Martin dan Enea Bastianini.
Satu-satunya kemenangan yang berjaya 'dicuri' - utama dan Sprint adalah menerusi kemenangan Aprilia ketika GP Amerika Syarikat menerusi Maverick Vinales.
Setakat ini, pelumba terbaik menggunakan jentera Ducati GP23 adalah Marc Marquez dengan sembilan kedudukan berjaya dirangkul juara dunia lapan kali itu namun kemenangan tampak seperti makin jauh jika berpandukan keputusan di Silverstone.
Tetapi disebalik dominasi yang ditunjukkan oleh GP24, Pengurus Besar Ducati Corse, Gigi Dall’Igna berkata pihaknya akan terus meningkatkan kemampuan GP23 sepanjang musim ini.
"Seperti biasa, kami cuba untuk menyelesaikan masalah, dan saya fikir kami sudah melakukan kerja yang baik," kata Dall’Igna memetik laporan Sky Italy.
"Kami dengan jelas meningkatkan GP24 sehingga GP23 nampak kurang berkuasa. Ia dapat dilihat di sini (Silverstone) dan di beberapa litar lain. Saya perlu katakan yang krew di 'kilang' sudah melakukan kerja yang amat bagus.
"Seperti selalunya, segala-galanya perlu datang daripada kefahaman terhadap beberapa mekanisma dan juga masalah.
"Apabila kamu memahami perkara itu, jadi ia akan mudah untuk mendapatkan jalan penyelesaian.
"Jadi apa yang boleh dipertingkatkan terhadap GP23, kami akan melakukannya dan kami akan terus melakukannya untuk sepanjang tahun ini," katanya.
