DUCATI GP24 Lonjak Keyakinan Alex Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/11/20251 min read

ALEX Marquez sekali lagi muncul pelumba terpantas ketika ujian pra-musim di Sepang, mengikuti keputusan ujian di Barcelona tahun lalu dengan keputusan pelumba Gresini Ducati itu sekali lagi memperoleh isyarat 'tahniah' kurang sopan daripada abangnya, Marc Marquez.

Selepas mengetahui catatan yang dilakukan oleh adiknya lebih pantas, juara dunia lapan kali itu menunjukkan isyarat jari tengah ketika Alex menuju ke pit pasukan Gresini Ducati.

Jelas tidak terkesan dengan perkara itu yang dianggap sebagai gurauan, Alex mengakui gembira dengan keputusan yang diperoleh di Sepang yang menyaksikannya turut mencatatkan masa terpantas simulasi perlumbaan 'Sprint'.

Justeru tanpa berselindung, pelumba kelahiran Sepanyol itu berkata kemampuan Ducati GP24 memang meningkatkan keyakinannya.

"Dengan Ducati GP23, daripada 0 ke 10, keyakinan adalah 7, sentiasa seperti itu. Dengan ini (GP24), ia adalah 9, jadi ia adalah penting," kata Alex.

"Kami banyak bergelut pada tahun lalu dengan GP23 tetapi apabila kamu bergelut, kamu mempelajari banyak perkara. Jadi semua perkara yang kami belajar pada tahun lalu akan menjadi perkara yang baik untuk kami menjadikan 2025 musim yang hebat."

Mengulas ujian di Sepang, Alex berkata segala-galanya berjalan dengan lancar dan dia sememangnya sentiasa laju di litar berkenaan.

"Saya menggemari litar ini dan sentiasa laju di sini. Jika kita boleh menjalankan kejuaraan dunia di sini, kesemua 22 perlumbaan, ia pasti sempurna untuk saya!," katanya berseloroh.

"Tetapi kami juga paling laju di Barcelona. Kami bagus di sana. Thailand juga litar yang saya agak gemari jadi kita akan lihat bagaimana keadaan di sana dan melihat berapa laju pasukan 'kilang' selepas semuanya selesai.

"Kerana apabila pasukan 'kilang' sudah melengkapkan ujian mereka, daripada semua komponen baharu yang mereka uji, baru kami akan dapat lihat di mana kedudukan kami."

Selepas menyinar bersama Ducati GP22 pada musim 2023, pelumba berusia 28 tahun yang bergelut pada musim lalu menyifatkan Ducati GP24 sebagai jentera terbaik pernah ditunggangnya di MotoGP.

Selain Alex, seorang lagi pelumba yang menunggang Ducati GP24, Franco Morbidelli turut menampilkan persembahan yang baik apabila mencatatkan masa keempat terpantas di Sepang, lebih baik daripada Marc.

Rakan sepasukan Alex, Fermin Aldeguer dalam pada itu menjadi pelumba Ducati paling perlahan di kedudukan ke-11 terpantas.