DUCATI Hasilkan 5 Ducati Panigale Edisi Terhad Rai Gelaran Dunia MotoGP, WSBK 2023

TERKINI

12/19/20232 min read

DUCATI menghasilkan model edisi terhad Ducati Panigale bagi meraikan kejayaan yang diraih pengeluar itu di MotoGP dan WSBK 2023 yang dipadankan dengan 'liveri' lima pelumbanya yang paling berjaya di kedua-dua kejuaraan elit berkenaan.

Daripada lima model yang dihasilkan, tiga daripadanya diinspirasi daripada pelumba MotoGP diketuai juara dunia 2023, Francesco Bagnaia, Jorge Martin dan Marco Bezzecchi.

Manakala dua lagi model mendapat inspirasi daripada juara WorldSBK 2023, Alvaro Bautista dan juara dunia WorldSSP, Nicolo Bulega.

Untuk tiga model edisi terhad MotoGP, model yang digunakan adalah daripada Ducati Panigale V4.

Dan untuk Bautista, model yang dijadikan edisi terhad adalah Ducati Panigale V4R manakala untuk edisi terhad Bulega, model yang digunakan adalah Ducati Panigale V2.

Seperti model edisi terhad lain yang kebiasaan hanya akan berada di bilik pameran, kelima-lima Ducati Panigale edisi terhad ini akan dihasilkan dalam unit terhad dan memiliki nombor siri.

Selain corak liveri mengikuti jentera pelumba, setiap unit akan datang dengan tandatangan asli pelumba, sijil ketulenan selain kelengkapan teknikal untuk setiap pembelian selain kotak kayu istimewa.

Diperkenalkan ketika acara 'Campioni in Festa', berikut adalah harga yang diumumkan untuk kelima-lima model berkenaan:

  • Ducati Panigale V4 Bagnaia 2023 World Champion Replica - $AS 73,000 (RM 341,950) - 263 unit

  • Ducati Panigale V4 Martin 2023 Racing Replica - $AS 68,000 (RM 318,528) - 189 unit

  • Ducati Panigale V4 Bezzecchi 2023 Racing Replica - $AS 63,000 (RM 295,107) 72 unit

  • Ducati Panigale Bautista 2023 World Champion Replica - $AS 68,000 (RM 318,528) 219 unit

  • Ducati Panigale V2 Bulega 2023 World Championship Replica - $AS 43,000 (RM 201,412) 111 unit

Sebagai menambah keistimewaan, model Bagnaia akan dipadankan dengan nombor 1, Martin (89) dan Bezzecchi (72), Bautista (Nombor 1 besar dan 19 kecil) dan Bulega (11).

Tiba sebagai model edisi terhad, kesemua model Ducati Panigale V4 akan dipadankan dengan ‘dry clutch’ 9-cakera STM-EVO SBK, ekzos Akrapovic selain brek Brembo Stylema R dan Brembo MCS dan komponen daripada Rizoma.

Bagi Ducati Panigale V2 edisi terhad Bulega, ia akan turut mendapat peningkatan dari sudut suspensi (Ohlins) dan ekzos Akrapovic.

Menurut Ducati, penghantaran Ducati Panigale edisi terhad MotoGP dan WSBK ini akan bermula pada Julai 2024.

Begitupun, jangan diharap ia akan sama jika tiba di Malaysia pada harga yang diumumkan atau persoalan lebih tepat, adakah ia akan tiba di Malaysia?