DUCATI Hypermotard 698 Mono (2024) Didedahkan, Enjin 1 Silinder 'Hardcore', 77.5 Hp, 63 Nm!

TERKINI

11/3/20232 min read

DUCATI, dalam episod lima Ducati World Premiere (DWP) 2024 memperkenalkan jentera satu silinder yang dilabel paling 'hardcore' jenama itu, Ducati Hypermotard 698 Mono (2024).

Seperti yang pernah didedahkan sebelum ini, Ducati Hypermotard 698 Mono (2024) adalah jentera enjin satu silinder pertama dikeluarkan jenama Itali itu dalam tempoh tiga dekad.

Tampil dengan gaya 'Hypermotard', tatapi apa yang paling mendapat perhatian adalah di bahagian trenkuasa, Superquadro Mono yang didakwa Ducati salah satu enjin 1 silinder paling ektrem pernah dipadankan kepada motosikal produksi.

Menurut Ducati, enjin Superquadro Mono dihasilkan menggunakan teknologi yang 'disedut' daripada MotoGP dan Ducati Panigale V4 R.

Perinciannya adalah seperti berikut:

  • Enjin bersesaran 659 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

  • Kuasa 77.5 Hp pada 9,750 rpm dan tork 63 Nm pada 8,000 rpm.

Kepada yang merasakan kuasa itu tak mencukupi, Ducati turut memberikan pilihan ekzos Termignoni yang boleh meningkatkan kuasa Ducati Hypermotard 698 Mono (2024) kepada 85 Hp.

Tak seperti 'Abang besarnya' Ducati Hypermotard 950, Ducati Hypermotard 698 Mono (2024) yang menggunakan kerangka 'Steel Trellis' menggunakan 'Swingarm' aluminium berkembar (bukan sebelah), dan brek cakera tunggal (depan). Begitupun, ia cukup ringan iaitu 151 kg (kering).

Dari sudut suspensi, ia dipadankan dengan sistem cukup premium iaitu fork depan jenis terbalik (USD) jenama Marzocchi (boleh laras sepenuhnya dan penyerap hentak tunggal (belakang) juga dengan ciri boleh laras.

Set roda adalah 120/70-17 (depan) dan 160/60-17 (belakang) dengan sistem brek dijana cakera tunggal 330 mm dengan kaliper Brembo M4.32 (depan) dan cakera 240 mm (belakang).

Di bahagian elektronik, Ducati berkata sistem yang dipadankan kepada Ducati Hypermotard 698 Mono (2024) membenarkan penunggang 'Nubis' untuk menikmati jentera 'motard'.

Antara yang dipadankan termasuklah 'Ducati Traction Control', 'Ducati Wheelie Control' 4 tahap, Kawalan Brek Enjin 'Ducati Power Launch' dan 'Ducati Quick Shift (DQS) Up/Down'. Tetapi DQS tidak datang sebagai ciri standard.

Turut tersedia adalah ABS (Sistem Brek Anti-Kunci) Selekoh selain empat tahap 'intervensi' ABS, selain pilihan Ducati Performance yang termasuk 'Wheelie Assist’.

Empat mod tunggangan tersedia - Sport, Road, Urban dan Wet selain tiga mod kuasa enjin yang boleh dilaras menerusi panel meter LCD bersaiz 3.8 inci.

Seperti model-model Ducati lain, pelbagai aksesori dan komponen naik taraf tersedia untuk Ducati Hypermotard 698 Mono (2024) antaranya ekzos Termignoni, pelana lumba, peg 'motard', 'slider' dan pelindung enjin.

Turut tersedia adalah aksesori berasaskan karbon iaitu pelindung untuk 'manifold' dan 'silencer' ekzos serta pelbagai aksesori aluminium antaranya untuk tuil klac dan brek.

Ducati Hypermotard 698 Mono (2024) ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu Ducati Red dan seperti model Hypermotard lain, RVE.

Untuk versi RVE, sistem seperti Ducati 'Quick Shift' datang secara standard dan harganya juga sedikit tinggi di UK iaitu £ 11,895 (RM 68,795) berbanding versi standard, £ 10,995 (RM 63,590).