DUCATI Hypermotard 950 RVE (2024) Dapat 'Baju' Baru - Graffiti Livery Evo, Makin Mengancam!

7/22/20231 min read

DUCATI memang cukup aktif dalam bab membabitkan kemas kini terhadap barisan model jenama itu dan antara yang terbaharu adalah Ducati Hypermotard 950 RVE (2024) yang baru-baru ini mendapat pembaharuan dari sudut penampilan.

Tetapi jangan terlalu teruja, perubahan yang dibuat hanyalah dari sudut 'kosmetik' iaitu liveri baharu yang dipanggil Graffiti Livery Evo.

Buat peminat Ducati terutama Hypermotard, penggunaan liveri penuh corak ini bukanlah sesuatu yang baharu.

Dan di pasaran global, Ducati Hypermotard memang dijual dalam tiga varian iaitu Hypermotard 950 (Standard), Hypermotard 950 RVE dan teratas Hypermotard 950 SP dengan varian RVE boleh dikatakan memiliki 'baju' paling menarik.

Mengulas spesifikasi trenkuasa, tiada perbezaan untuk ketiga-tiga varian dengan ia dijana enjin bersesaran 937 cc. Kuasa yang dihamburkan adalah 114 Hp pada 9,000 rpm dan tork 96 Nm pada 7,250 rpm.

Antara yang menarik untuk Ducati Hypermotard 950 RVE (2023) termasuklah sistem Ducati Quick Shift (DQS) Up/Down EVO, ABS Cornering Bosch EVO dengan fungsi 'Slide by Brake', Ducati Wheelie Control (DWC) EVO.

Seperti model Ducati moden lain, ia turut dilengkapi 3 mod tunggangan (Sport, Touring, Urban) serta panel instrumen TFT 4.3 inci.

Informasi penting lain adalah seperti tangki bahan api 14.5 liter, ketinggian pelana 870 mm dan berat 200 kg.

Sebagai info, Ducati Hypermotard 950 RVE (2024) dengan liveri Graffiti Livery Evo adalah salah satu daripada 5 model Ducati yang mendapat perubahan luaran bagi versi 2024.

Di pasaran Malaysia 🇲🇾 pula, harga yang ditawarkan oleh Ducati Malaysia untuk Hypermotard 950 RVE (2023) adalah RM 90,900 (asas).