DUCATI Janji Tak 'Sisih' Jorge Martin Pemburuan Gelaran Dunia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/10/20241 min read

DUCATI tidak akan meminggirkan Jorge Martin dan pelumba pasukan Pramac Ducati itu akan terus menerima 'segala-galanya' daripada Ducati Corse untuk bersaing merebut kejuaraan dunia MotoGP musim ini.

Pengeluar Itali itu menyuarakan tekad itu sekalipun Martin sudah pun melengkapkan perpindahan ke Aprilia musim depan.

Dan kata-kata itu bukan terkeluar daripada individu 'biasa-biasa' di Ducati Corse, namun Pengurus pasukan Ducati Lenovo, Davide Tardozzi memetik laporan CycleWorld.com.

Martin ketika ini sedang mendahului carta kedudukan pelumba MotoGP dengan kelebihan 18 mata di depan Francesco Bagnaia.

Naib juara dunia musim lalu itu bersaing sengit dengan Marc Marquez bagi pemburuan tempat di Ducati Lenovo musim depan namun tewas dan membuat keputusan menyertai satu lagi pengeluar Itali, Aprilia.

"Gigi (Dall’Igna) menyatakan dengan jelas dan saya menegaskan sekali lagi: Martin akan memperoleh segala-gala yang dia perlukan untuk bersaing merebut kejuaraan dunia," kata Tardozzi.

Selain Martin, Ducati turut dijangka kehilangan seorang lagi pelumba muda berbakat iaitu rakan sepasukan Bagnaia musim ini, Enea Bastianini yang dilaporkan 'dalam perjalanan' untuk menyertai KTM.

"Kami memang sedih kehilangan Martin dan Enea, dua pelumba yang hebat yang kami meletakkan banyak kepercayaan kepada mereka," kata Tardozzi.

"Jorge memimpin kejuaraan dan Enea melakukan kerja yang hebat bersama kami. Bermula di pasukan satelit dan kemudian 'Merah'. Tetapi dia berdepan nasib malang tahun lalu dengan kemalangan yang dia hadapi pada perlumbaan pertama dan tidak mampu pulih sepenuhnya sehingga penghujung musim lalu.

"Kami memang mahu mengekalkan mereka, tetapi pada akhirnya kami perlu membuat keputusan," kata Tardozzi yang turut tidak menolak Enea mampu menjulang kejuaraan sekalipun ketinggalam 57 mata di belakang Martin.

Tardozzi dalam pada itu tetap meletakkan harapan yang Bagnaia mampu merangkul gelaran dunia ke-3 MotoGP miliknya pada musim ini.

"Musim masih panjang dan banyak perkara boleh terjadi. Martin sedang mendahului, manakala Pecco menunjukkan betapa kuatnya dia. Dia membawa nombor 1 dan kami berharap dia boleh mengesahkannya untuk kali ketiga."