DUCATI Janji Tetap Sediakan Jorge Martin GP24 Terbaik
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/28/20241 min read
DUCATI didakwa berjanji untuk memberikan yang terbaik buat Jorge Martin - pelumbanya yang sudah pun mengesahkan akan meninggalkan pengeluar Itali itu musim depan - dalam pemburuan kejuaraan dunia MotoGP musim ini.
Pelumba pasukan satelit Pramac Ducati itu membuat keputusan meninggalkan Ducati selepas 'tewas' dalam pemburuan tempat di pasukan 'kilang' Ducati Lenovo kepada Marc Marquez.
Sekalipun muncul naib juara dunia MotoGP musim lalu di belakang Francesco Bagnaia dengan jurang cukup kecil dan menghuni puncak carta teratas kedudukan pelumba musim ini, ia masih belum mencukupi buat Ducati memberinya tempat di Ducati Lenovo musim 2025.
Mengakui kecewa dengan keputusan pengeluar Itali itu, Martin begitupun berkata fokusnya masih sama iaitu menamatkan kempen musim ini sebagai juara dunia bersama Pramac - situasi yang sboleh memberikan 'luka' kepada Ducati Corse.
Dan untuk mencapainya, Martin mendedahkan yang Ducati memberitahunya dia akan terus mendapat sokongan penuh daripada pengeluar itu dan akan dibuktikan di Assen, minggu ini.
"Saya tidak bimbang mengenainya," kata Martin mengulas mengenai sokongan yang diberikan Ducati. "Saya boleh memberi jaminan daripada sudut saya, saya adalah pelumba profesional dan saya dibayar gaji oleh Ducati.
"Daripada sini sehingga Valencia, Ducati adalah pasukan saya. Saya akan memberikan 100 peratus untuk menang atau memberikan yang terbaik untuk cuba menang.
"Saya fikir daripada sudut mereka, mereka memberitahu saya yang saya akan memperoleh material saya seperti yang saya dapat sehingga sekarang.
"Saya yakin tidak akan dapat sebarang isu dan saya boleh bersaing dengan dua pelumba ini (Bagnaia dan Marquez) secara adil," kata Martin.
Pada musim lalu, Martin dilihat berpeluang cukup cerah untuk menjulang gelaran dunia tetapi pelumba kelahiran Sepanyol berdepan beberapa isu 'pelik' ketika perlumbaan antaranya masalah tayar.
Mengulas lanjut, pelumba berusia 26 tahun itu menegaskan tiada apa yang perlu dibuktikan kepada Ducati dan apa yang berlaku bukan berada dalam kawalannya.
"Ada banyak faktor yang boleh mengubah masa depan saya dan banyak juga perkara yang saya tidak boleh kawal, jadi saya fokus kepada apa yang saya boleh kawal, iaitu memutuskan di mana saya akan pergi tahun depan," kata Martin.
"Saya lihat Aprilia adalah syarikat yang akan memberikan 100 peratus kepada saya dan ia memberikan saya banyak motivasi."