DUCATI JB Dirasmikan, Tawar Perkhidmatan Komprehensif, Fasiliti Terkini
TERKINI
9/10/20242 min read
DUCATI secara rasmi kembali ke Johor menerusi pembukaan Ducati Johor Bahru (Ducati JB) yang juga pusat sehenti lengkap dan komprehensif buat pemilik jenama motosikal premium Itali itu khususnya di selatan tanah air.
Apa yang menarik, pembukaan Ducati JB turut menandakan kehadiran semua Ducati ke negeri bersempadan dengan Singapura itu selepas hampir lebih 10 tahun dengan majlis perasmiannya berlangsung penuh meriah, semalam.
Berada di lokasi strategik - No.9 Jalan Permas 9/17, Masai, Johor, Ducati JB adalah pusat sehenti lengkap yang bukan saja menampilkan pusat pameran dan jualan, namun pusat servis serba canggih yang memiliki segala kelengkapan dan perkakasan terkini Ducati.
Turun ke JB untuk merasmikan pembukaan Ducati JB adalah Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Ducati Asia Pasific, Marco Biondi, Ketua Pegawai Eksekutif Ducati Malaysia, Dennis Michael dan Pengarah Urusan Ducati Johor, Jonathan Yap.
Lebih menarik, majlis turut dihadiri pasukan Johor Racing Team termasuk pelumbanya, Hafizh Syahrin Abdullah.
Bersama pelaburan RM 3.5 juta, Ducati JB yang direka untuk menawarkan pengalaman premium kepada pelanggannya merangkumi 2,418 kaki persegi kawasan pameran, jualan yang mampu memuatkan 16 motosikal pada satu masa.
Selain ruang pameran dan jualan, turut tersedia adalah ruang khusus untuk aksesori, pakaian Ducati, ruang sosial dan menariknya, ruang khas untuk Scrambler Ducati dikenali Scrambler Camp.
Dengan keluasan keseluruhan 2,418 kaki persegi pula, pusat servis Ducati JB memiliki 4 ruang servis termasuk 2 pengangkat motosikal dengan kemampuan penyelenggaraan sejumlah 200 unit motosikal setiap bulan.
Apa yang menarik, ia turut dilengkapi dengan kelengkapan canggih dan terkini Ducati, peralatan diagnostik dan rangkaian lengkap alatan khas untuk model-model jenama itu.
Marco Biondi ketika majlis berkenaan berkata pihaknya berbangga dengan Ducati Malaysia atas dedikasi syarikat itu menerusi pembukaan Ducati JB.
"Pembukaan Ducati JB adalah salah satu daripada tanda aras strategi kami di rantau ini," katanya. "Ia menunjukkan komitmen Ducati untuk mengukuhkan kehadiran kami dalam pasaran utama dan memberikan pengalaman yang cukup mengujakan kepada pelanggan kami."
Sementara itu, Dennis berkata pembukaan Ducati JB sebagai babak baharu dalam perjalanan Ducati Malaysia dan menunjukkan komitmen syarikat itu dalam penyediaan perkhidmatan jualan dan selepas jualan bertaraf dunia.
"Ducati JB turut mencerminkan dedikasi kami untuk mendekatkan pengalaman Ducati kepada pelanggan kami di wilayah selatan," kata Dennis.
"Dengan lokasi yang premium dan fasiliti yang canggih, kami yakin yang Ducati JB akan menjadi hab kepada kedua-duanya pemilik baharu dan sedia ada Ducati dan menawarkan mereka pengalaman berharga yang menjadi kekuatan jenama ini."
Turut berlangsung sempena perasmian Ducati JB adalah pelancaran model baharu Ducati di Malaysia iaitu Ducati Hypermotard 698 Mono (2024) dan Ducati Hypermotard 698 Mono RVE (2024).
Masa operasi Ducati JB:
Isnin - Sabtu: 10 pagi - 7 malam
Ahad: 10 pagi - 3 petang
