DUCATI Kata Ada Peluang Marc Marquez Sertai Pasukan 'Factory'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/15/20231 min read

MARC Marquez menyertai Ducati menerusi pasukan satelit Gresini Racing musim depan tetapi peluang juara dunia MotoGP enam kali itu untuk menyertai pasukan 'Factory' tetap ada.

Seperti dijangka, bekas pelumba Repsol Honda itu 'menyinar' pada debutnya bersama Ducati pada sesi ujian 'post-musim' di Valencia, bulan lalu.

Bersama Gresini, Marquez hanya menandatangani kontrak selama setahun yang memberi maksudnya khidmatnya tersedia untuk mana-mana pasukan - temasuk pasukan 'Factory' Ducati pada musim 2025.

Dan peluang itu bertambah dengan rata-rata pelumba di grid MotoGP ketika ini hanya mempunyai kontrak sehingga penghujung musim 2024.

"Berikutan kami belum menandatangani mana-mana pelumba bagi 2025, saya boleh katakan tiada masalah yang Marc adalah salah seorang pesaing bagi pasukan rasmi," kata Pengarah Sukan Ducati, Paolo Ciabatti kepada GPOne.

Begitupun, Ciabatti turut menyuarakan mungkin ada batu penghalang bagi merealisasikan keputusan itu.

"Jelas ada beberapa aspek yang penting perlu diperincikan, iaitu daripada sudut pandang ekonomi di mana kami tidak lagi berada pada tempoh pre-Covid, di mana pelumba sepertinya (Marc) boleh mendapat gaji 'super' jutawan," kata Ciabatti.

Kepada yang tak tahu, Marc Marquez menyertai Gresini menerusi kontrak pasukan dan bukannya kontrak bersama pengeluar dan pelumba kelahiran Sepanyol itu turut menafikan yang dia berlumba secara percuma musim depan.

Dan kata-kata Ciabatti itu memberi petanda peluangnya untuk memperoleh gaji bertaraf 'Super' seperti diperolehnya ketika di Honda nampak cukup tipis sekalipun menyertai pasukan rasmi Ducati.