DUCATI Kata Jurang Desmosedici GP23 & GP24 Mungkin Lagi Besar, Marquez, Bezz Ada Masalah!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/21/20231 min read

DUCATI memenangi empat perlumbaan utama MotoGP musim 2023 menggunakan jentera 'tahun sebelumnya', Desmosedici GP22 tetapi situasi menarik itu berkemungkinan sukar untuk diulang musim depan.

Sekalipun saingan musim 2023 didominasi Francesco Bagnaia dan Jorge Martin yang menunggang jentera GP23, begitupun Marco Bezzecchi berjaya mencuri tumpuan dengan menang tiga perlumbaan utama menggunakan GP22.

Selain itu, jentera GP22 turut memenangi satu lagi perlumbaan utama menerusi Fabio di Giannantonio di Qatar dan dua Perlumbaan Sprint menerusi Alex Marquez (GP Malaysia) dan Bezzecchi.

Keputusan itu turut berjaya membuatkan Bezzecchi menolak peluang untuk menyertai pasukan yang menggunakan jentera 'Factory' Pramac Racing bagi musim depan selain memberi keyakinan kepada juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez untuk menyertai Ducati.

Tetapi situasi itu mungkin berbeza pada musim depan berikutan kekurangan sesi ujian dan ia disuarakan sendiri Pengurus Besar Ducati Corse, Gigi Dall’Igna.

"Masalahnya adalah kami tidak memiliki ujian ketika musim sejuk yang cukup untuk untuk menyiapkan dengan betul segala perkakasan baru yang kami mahu perkenalkan," kata Dall’Igna.

"Kami melakukan kesilapan (sebelum ini) kerana kami cuba meletakkan begitu banyak pembangunan ke atas jentera. Jadi kami belajar daripada kseilapan dan tidak mahu melakukan begitu banyak evolusi ke atas jentera.

"Tahun ini (2024), kami akan melakukan sesuatu.Jadi saya fikir bagi musim depan, perbezaan di antara jentera 'Factory' dan musim sebelumnya akan menjadi lebih besar.

"Tetapi kita akan tunggu dan lihat."

Bagi musim depan, jentera 'Factory' atau GP24 akan digunakan Bagnaia, Bastianini (Ducati Lenovo) dan Martin, Franco Morbidelli (Pramac Ducati).

Dan empat lagi pelumba yang menggunakan jentera GP23 adalah Bezzecchi, Fabio di Giannantonio (VR46) dan Marquez, Alex Marquez(Gresini Ducati).