DUCATI Kotakan Janji Kepada Vale, Bez Untuk Musim Depan, Yamaha Macam Mana?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/26/20231 min read

DUCATI bersetuju dengan permintaan 'major' daripada pasukan milik legenda MotoGP, Valentino Rossi, Mooney VR46 - tindakan yang dilihat bakal 'mengikat' Marco Bezzecchi untuk kekal menggunakan jentera pengeluar Itali itu.

Menurut laporan daripada Gazzetta, sudah ada 'perjanjian untuk ditandatangani' di antara Ducati dan Mooney VR46 yang menyaksikan Bezzecchi bakal menunggang jentera terkini Desmosedici bagi musim 2024.

Dan Bezzecchi juga dilaporkan 'Berpuas hati dengan terma daripada sudut teknikal serta pendapatannya' daripada perjanjian berkenaan.

Perbincangan panjang dan bersiri itu dikatakan membabitkan beberapa 'orang kuat' kedua-dua pihak termasuk Pengurus Besar Ducati Corse, Gigi Dall’Igna dan bos Mooney VR46, Uccio Salucc.

Keputusan itu akan menyaksikan Bezzecchi akan kekal bersama Mooney VR46 berbanding 'mencari' pasukan lain yang menggunakan jentera yang baru.

Pelumba muda Itali itu sedang mengharungi musim yang menakjubkan tahun ini dan kekal sebagai pencabar kejuaraan dunia dalam kempen MotoGP 2023.

Anak didik Vale itu merangkul kemenangan MotoGP pertamanya di GP Argentina, yang juga kemenangan pertama buat pasukan MotoGP Rossi dan turut memenangi perlumbaan di Le Mans.

Bezzecchi sebelum ini turut menghuni tangga teratas kedudukan pendahulu MotoGP namun jatuh ke tangga ketiga di belakang juara dunia, Francesco Bagnaia dan pelumba Pramac, Jorge Martin yang kedua-duanya menggunakan jentera spesifikasi 2023 berbanding Bez (2022).

Dan keputusan itu memberi petunjuk dia mahu menunggang jentera lebih baik sekalipun potensi untuk berhijrah ke Pramac.

Perancangan asal Ducati terhadap Bezzecchi bagi musim 2024 'goyah' dengan pelumba itu turut dikaitkan dengan perpindahan ke Yamaha.

Pada April lalu, Yamaha Motor Co., Ltd mengumumkan mereka sudah menandatangani kontrak jangka panjang bersama Rossi yang menjadikan juara dunia sembilan kali itu Duta jenama rasmi Yamaha.

Ia sekaligus membuka peluang untuk Rossi 'membawa' pasukannya untuk menyertai Yamaha namun Ducati turut mempunyai perancangan tersendiri.

Sumber imej: FB Mooney VR46 Racing Team