DUCATI 'Layan' Marc Marquez, Pecco Bagnaia Sama Rata

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/3/20251 min read

DUCATI tidak mengamalkan polisi 'pilih kasih' terhadap kedua-dua pelumba bintangnya di pasukan 'kilang' Ducati Lenovo MotoGP, Marc Marquez dan Pecco Bagnaia.

Menurut jurulatih perlumbaan Ducati, Manuel Poggiali, Marquez dan Bagnaia yang bergandingan pada musim ini akan bersaing secara adil.

Juara dunia lapan kali, Marquez menyertai pasukan Ducati Lenovo musim ini dan membentuk pasukan yang disifatkan Ducati, terbaik dalam sejarah MotoGP bersama juara dunia tiga kali, Bagnaia.

"Atas kertas ini adalah pasukan paling berjaya di kejuaraan ini, Marc mempunyai lapan gelaran dan Pecco tiga dan ia jelas adalah angka yang tidak pernah dicapai pasukan lain," kata Poggiali kepada Corsedimoto.

"Tetapi ini adalah sejarah, kami berminat dengan perkara sedia ada, kami mahu menjuarai gelaran ini.

"Untuk kami, adalah penting untuk cuba menguruskan kedua-dua pelumba dengan cara yang terbaik, untuk memberikan kedua-duanya layanan yang sama, jelas material yang sama dan meletakkan mereka berdua dalam keadaan terbaik untuk mereka mampu memberikan yang terbaik.

"Sebagai staf teknikal dan pasukan ia adalah perkara yang paling penting."

Gandingan Marquez dan Bagnaia di Ducati Lenovo menyaksikan garaj pasukan itu bakal menjadi tumpuan pada musim ini dengan kedua-duanya meletakkan misi untuk menjulang gelaran dunia 2025.

Dan Poggiali menegaskan situasi itu tidak mencetus kebimbangan pasukan.

"Saya fikir kedua-duanya Pecco dan Marc adalah dua pelumba yang laju, dua bakat dan juara, seperti yang mereka sudah tunjukkan," katanya.

"Apa yang lebih atau kurang adalah dari sudut kelayakan, sebahagiannya dari sudut kemungkinan dan tahun pengalaman.

"Bagaimanapun saya percaya yang kedua-duanya pelumba yang menggerunkan, juara yang sebenar, dan berpeluang untuk bekerja bersama mereka adalah saya keistimewaan."