DUCATI Lenovo Atau GP25 Di Gresini - Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/28/20242 min read
MARC Marquez akhirnya mendedahkan perincian bagaimana dia akhirnya dinamakan sebagai pelumba pasukan 'kilang' Ducati Lenovo musim depan sekalipun pada satu ketika dikatakan hampir 'tumpas' kepada Jorge Martin.
Seperti diketahui, keengganan juara dunia lapan kali itu untuk menyertai pasukan satelit rasmi Pramac Ducati menjadi punca Martin disisihkan namun menurut Marquez, dia turut mempunyai pilihan lain.
Dan menariknya, pilihan berkenaan - beraksi menggunakan jentera spesifikasi terkini Ducati GP25 bersama Gresini Racing - tidak diterima dengan pelumba Sepanyol itu dipilih sebagai rakan sepasukan Pecco Bagnaia.
"Tiada yang berubah di sekeliling saya," kata Marquez yang bersuara buat pertama kali mengenai keputusan itu kepada media menjelang GP Belanda di Assen.
"Kami memperoleh informasi yang sama sejak dari Le Mans, ke Montmelo dan ke Mugello. Mereka masih berfikir untuk membuat keputusan pada hari Rabu di Mugello jadi saya agak selesa.
"Saya jujur mengenai apa yang saya mahukan. Saya mahu jentera terbaharu di Gresini atau tempat di pasukan rasmi dan mereka memberikan saya pasukan rasmi.
"Sasaran seorang pelumba adalah untuk berada di pasukan rasmi. Untuk memakai sut warna merah pada tahun depan akan menjadi satu kebanggaan dan saya akan cuba mempertahankan warna itu dengan usaha yang maksimum."
Mengulas lanjut, pelumba berusia 31 tahun yang ketika ini menghuni tangga ketiga carta kedudukan pelumba mengakui bertuah dipilih Ducati berpandukan situasi yang dihadapinya bersama Honda.
"Sudah tentu saya amat gembira dan amat berterima kasih kepada Ducati kerana memilih saya sebagai pelumba rasmi dan rakan sepasukan kepada Pecco," kata Marquez.
"Terutama pada setahun lalu saya hampir untuk menamatkan karier saya tetapi bertuah ia berlaku ketika rehat musim panas dan saya mengecas kembali bateri dan mengecas kembali badan saya.
"Kemudian, sejak daripada itu saya memutuskan untuk mencari jalan lain. Dalam banyak-banyak keputusan, saya juga berterima kasih kepada Honda kerana mereka memahami keputusan saya untuk menyertai Gresini.
"Di Gresini saya dapat merasakan perubahan serta merta dan saya memahami dengan pantas yang adalah tak mustahil untuk saya mendapatkan kembali keyakinan saya.
"Suasana pasukan juga sempurna untuk meningkatkan kembali semangat pelumba yang pada satu ketika hilang.
"Sejak daripada itu saya cuba melakukan yang terbaik dan saya adalah salah seorang pencabar kejuaraan untuk menunggang jentera rasmi Ducati, yang bagi saya sesuatu yang cukup besar.
"Saya hanya memberikan 100 peratus di atas litar dan kemudian pada petang Ahad di Mugello, mereka memutuskan saya akan menjadi pelumba mereka dan dalam masa dua hari kami melengkapkan kontrak.
"Terlalu gembira tetapi musim masih panjang untuk diharungi dan saya mahu memberikan yang terbaik untuk Gresini yang juga amat profesional dan pasukan yang amat bagus," katanya.