'DUCATI Lenovo Bakal Berdepan Masalah Tahun Depan'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/16/20241 min read

PRINSIPAL Pramac Ducati, Paolo Campinoti seperti tidak boleh berhenti daripada mengkritik Ducati.

Memetik laporan Gazzetta, Campinoti yang membawa pasukannya untuk menyertai Yamaha pada musim depan menegaskan pengeluar Itali itu membuat keputusan yang tidak tepat selepas menyisihkan pelumbanya, Jorge Martin untuk beraksi bersama pasukan 'kilang'.

Ducati dikatakan pada asalnya sudah memilih Martin sebelum membuat 'Pusingan U' dengan menyenaraikan juara dunia lapan kali, Marc Marquez.

"Di Borgo Panigale mereka membuat keputusan yang saya tidak benar-benar bersetuju," kata Campinoti.

"Saya percaya akan ada ketegangan di garaj mereka pada tahun depan, adalah tak berguna untuk berpura-pura yang ia tidak akan berlaku.

"Tidak ada faedah dengan bercakap mengenainya secara naif, akan ada situasi yang amat tegang.

"Mereka membuat keputusan untuk kehilangan ramai orang yang mempunyai Ducati dalam hati mereka, seperti kami, seperti Martin yang saya percaya layak untuk mendapat peluang, dan seperti Enea Bastianini, segala-galanya untuk satu orang."

Tindakan Ducati memilih Marquez menyaksikan Martin membuat keputusan menyertai Aprilia bagi musim 2025 dengan Pramac turut menamatkan kerjasama sebagai pasukan satelit rasmi bersama pengeluar itu.

Sementara itu, seorang lagi pelumba berkualiti pasukan itu, Bastianini menyertai Tech3 KTM.

Apa yang menarik, jika Martin berjaya memenangi gelaran dunia musim ini, pelumba Sepanyol itu akan membawa sekali nombor '1' pada musim depan dan diletakkan ke atas jentera Aprilia.