DUCATI Lenovo Keutamaan, Tapi Yang Penting Pasukan 'Kilang' - Jorge Martin
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/7/20241 min read
JORGE Martin terus mengulangi kenyataan yang pasukan 'kilang' Ducati Lenovo adalah keutamaannya bagi kempen MotoGP musim depan dan jika tidak, pilihannya adalah meninggalkan pengeluar Itali itu.
Martin kekal di pasukan satelit Ducati, Pramac Ducati buat musim ketiga tahun ini selepas bergelar naib juara dunia 2023 apabila 'tewas' kepada Francesco Bagnaia.
Dan pelumba yang menggunakan jentera Ducati spesfikasi terkini itu terus membuktikan keinginannya untuk mengisi tempat di pasukan utama dengan menghuni tangga teratas carta pelumba selepas empat pusingan MotoGP berakhir.
Ketika ditanya mengenai potensi menyertai pengeluar lain termasuk yang sedang bergelut ketika ini - Yamaha dan Honda - pelumba kelahiran Sepanyol itu mengakui risiko yang perlu diambil memang besar tetapi ia bukan keutamaannya ketika ini.
"Segala-galanya berisiko... tetapi Fabio Quartararo menandatangani kontrak baharu, sebagai contoh," kata Martin ketika ditanya mengenai risiko menyertai Yamaha dan Honda memetik laporan Sky Italia. "Ini bermakna dia mempunyai kepercayaan kepada projek itu.
"Tetapi ketika ini saya hanya berfikir mengenai perlumbaan dan melakukan yang terbaik, sasaran saya kekal pasukan utama Ducati."
Ketika ditanya lanjut mengenai situasi membabitkan destinasinya musim depan, Martin menjelaskan fokusnya adalah hanya di litar.
"Tidak, itu adalah perkara yang perlu difikirkan oleh pengurus saya. Saya hanya fokus di atas litar.
"Saya berharap untuk terus bersama Ducati, tetapi jika ia tak menjadi kenyataan saya akan berlumba dengan pasukan utama lain."