DUCATI Lenovo Pasukan Terkuat Di Grid MotoGP 2025 - Pecco Bagnaia
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/22/20251 min read


FRANCESCO Bagnaia jelas teruja memasuki kempen MotoGP 2025 dan melabel Ducati Lenovo yang turut dipacu juara dunia lapan kali, Marc Marquez sebagai pasukan terkuat di grid kejuaraan itu musim ini.
Gandingan Bagnaia dan Marquez menyaksikan Ducati Lenovo mempunyai gabungan pelumba yang pernah menjuarai lapan gelaran dunia MotoGP dan 11 untuk semua kejuaraan termasuk Moto2 dan Moto3.
Dan turut mempunyai jentera yang dianggap terbaik di grid MotoGP ketika ini, pasukan itu dijangka akan mendominasi kempen musim ini.
"Ia amat mengujakan. Ini jelas pasukan terkuat di grid, jadi saya fikir kami boleh mengambil kelebihan daripadanya dan cuba untuk belajar sesuatu perkara mengenai Marc," kata Bagnaia.
"Saya fikir dia akan mengadaptasi dengan amat baik bersama pasukan dan pada tahap pertama ujian kami akan cuba bekerja bersama untuk cuba menambahbaik jentera dan cuba untuk tiba pada perlumbaan pertama dengan bersedia.
"Dan kemudian, apa yang berlaku akan berlaku."
Bagnaia dalam pada itu bertekad untuk belajar daripada kesilapan yang dilakukan musim lalu terutama selepas kali menamatkan perlumbaan tanpa sebarang mata.
Sekalipun berjaya menjuarai 11 kemenangan pada perlumbaan utama, pelumba kelahiran Itali itu tewas dalam perebutan kejuaraan dunia dengan Jorge Martin dan hanya dibezakan dengan 10 mata.
"Sejujurnya sukar untuk sedih mengenai apa yang kami lakukan pada tahun lalu. Tetapi menamatkan kejuaraan di tempat kedua sedikit mengecewakan kerana kami memenangi perlumbaan lebih seganda daripada pelumba lain.
"Jadi jelas ia musim yang menakjubkan. Saya hanya perlu menambah baik dan belajar daripada kesilapan dan perlu mempertingkatkan beberapa situasi di mana kami melakukan beberapa kesilapan tahun lalu."
