DUCATI Lenovo Sah Guna Enjin Ducati GP24
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/13/20251 min read


FRANCESCO Bagnaia dan Marc Marquez sah akan menggunakan enjin spesifikasi 2024 bagi musim kempen MotoGP 2025 dan 2026, kata bos Ducati Lenovo, Davide Tardozzi.
Ducati Corse berdasarkan peraturan akan berdepan pembekuan pembangunan enjin sejurus saingan musim 2025 membuka tirainya sehingga penghujung musim 2026 yang menyaksikan pemilihan membabitkan trenkuasa penting buat pasukan itu.
Justeru, pasukan itu memberikan fokus untuk memilih pakej enjin paling kompetitif ketika ujian pra-musim kali ini di Sepang dan Buriram.
Seperti diketahui, Ducati GP24 sudah pun memiliki pakej yang kuat dan menjadi jentera yang memenangi 16 daripada 20 perlumbaan Grand Prix musim lalu.
Dan bagi enjin 2025, sekalipun kedua-dua pelumba pasukan itu menyatakannya sebagai kompetitif, ia turut mempunyai beberapa 'titik kelemahan yang besar' sekaligus memberikan risiko yang besar kepada Ducati.
"Kami sudah memutuskan dan enjin bagi musim 2025 dan 2026 adalah 2024," kata Tardozzi. "Seperti yang saya cakap semalam, Gigi (Dall’Igna) tidak mahu mengambil sebarang risiko.
"Ia akan menjadi usaha yang keras bagi kami di ibu pejabat pasukan untuk membina enjin untuk ketiga-tiga pelumba utama pada perlumbaan pertama, tetapi Gigi mengambil keputusan ini.
"Seperti saya cakap, ia akan membuatkan mereka di kilang untuk menyiapkan enjin-enjin ini. Tetapi jika kami memutuskan untuk melakukan perkara ini ia bukan sesuatu yang mustahil.
"Saya fikir Ducati GP24 adalah jentera yang amat sukar untuk dipertingkatkan. Kami mencuba dengan keras tetapi kami akhirnya tidak dapat mencari apa yang kami inginkan dan kini kami mengambil keputusan paling selamat kepada pelumba-pelumba."
Selain enjin, Ducati turut berdepan kemungkinan untuk memulakan kempen 2025 dengan casis dan pakej aerodinamik daripada model 2025.
