DUCATI Lenovo Tayang Jentera, Liveri MotoGP 2026 Marc Marquez, Pecco Bagnaia

Sebelum menakluk gelaran dunia bersama Marc Marquez pada musim lalu, Ducati sebelum ini meraih gelaran bersama Francesco Bagnaia (2022, 2023) dan Jorge Martin (2024)

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/19/20261 min read

PASUKAN yang sudah mendominasi kancah MotoGP dunia selama bertahun-tahun, Ducati Lenovo memperkenalkan jentera dan seragam baharunya bagi musim MotoGP 2026, yang tampil dengan kombinasi merah gelap dan jalur putih sempena ulang tahun ke-100 pengeluar motosikal Itali itu.

Pelancaran berlangsung di Madonna di Campiglio, kawasan pergunungan Dolomites, semalam, sekali gus menandakan permulaan misi Ducati untuk meneruskan dominasi selama empat musim berturut-turut dalam kejuaraan dunia.

Sebelum menakluk gelaran dunia bersama Marc Marquez pada musim lalu, Ducati sebelum ini meraih gelaran bersama Francesco Bagnaia (2022, 2023) dan Jorge Martin (2024).

Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali berkata rekaan kali ini mengambil inspirasi daripada sejarah lampau syarikat.

"Kami mengambil inspirasi daripada warna masa lalu. Statistik yang paling menonjol ialah 88 podium berturut-turut. Semangat untuk terus mencapai keputusan sebegini sangat memotivasikan. Seperti kata Gigi (Dall’Igna), setiap musim bermula dengan sifar mata,” katanya.

Marquez menyifatkan rekaan baharu itu sebagai dorongan tambahan.

"Jentera yang laju sentiasa kelihatan cantik. Rekaannya sangat menarik dan kami akan cuba beraksi sebaik mungkin untuk meraikan ulang tahun ke-100 Ducati,” katanya.

Bagnaia pula menganggap kombinasi merah dan putih sebagai yang terbaik pernah ditungganginya sejak menyertai pasukan utama pada 2021.

"Liveri ini hebat, saya sangat suka. Merah dan putih adalah gabungan yang sempurna,” katanya.

Marquez kini menyamai rekod tujuh kejuaraan kelas perdana milik Valentino Rossi dan pelumba asal Sepanyol itu berpeluang menyamai rekod sepanjang zaman lapan kejuaraan dalam kelas perdana milik Giacomo Agostini musim ini.

Marquez dan Bagnaia akan turun dengan jentera Ducati Desmosedici GP26 pada ujian rasmi di Litar Sepang, 3 hingga 5 Februari, sebelum ujian kedua di Buriram. Musim baharu akan bermula pada 27 Februari hingga 1 Mac.