DUCATI Malaysia Lakar Sejarah, 'Panigale Kingdom Mega Gathering' 2024 Cipta Rekod Dunia!
BERITA
7/2/20241 min read
DUCATI Malaysia, baru-baru ini menganjurkan acara tahunannya 'Ducati Panigale Kingdom Mega Gathering' 2024 dan menariknya, berjaya mencipta sejarah sebagai rekod dunia.
Secara keseluruhan, lebih 310 Ducati Panigale berjaya dikumpulkan dalam acara berkenaan yang sekali gus melakar rekod baharu untuk 'Perhimpunan Ducati Panigale Teramai'.
Apa yang menarik, selain mencipta rekod baharu dalam 'Malaysia Book Of Records', ia turut mencatat Rekod Dunia mengatasi rekod sebelumnya iaitu pada 2011 yang berjaya menghimpunkan sejumlah 150 Ducati Panigale.
Untuk 'Ducati Panigale Kingdom Mega Gathering' 2024, acara dimulakan di Ducati KL menerusi konvoi ke Nilai Spring bagi perhimpunan tahunan Ducati Panigale Kingdom.
Majlis pelepasan konvoi disempurnakan oleh Ketua Pegawai Pemasaran (COO) Ducati Malaysia, Dennis Michael yang turut disertai Pengarah Pemasaran Ducati Asia Pasifik dan Siddhartha Varma.
Turut bersama pada majlis berkenaan adalah bekas pelumba MotoGP dan WorldSBK negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang kini berlumba menggunakan jentera Ducati Panigale V4R di ARRC.
"Ducati Panigale Kingdom Mega Gathering 2024 bukan saja acara yang memecahkan rekod dunia, malah ia adalah keraian terhadap semangat 'Malaysia Boleh!' dan menunjukkan rasa cinta kepada Ducati di negara ini," kata Michael.
"Kami terja untuk menyokong kelab-kelab Ducati dan pemilik Ducati yang bersemangat, terutama untuk menunjukkan rasa sayang mereka kepada Ducati, di Malaysia dan juga seluruh dunia."
Sementara itu, Varma yang juga Pengarah Urusan Ducati Motor Thailand menyifatkan perhimpunan pemilik-pemilik Ducati Panigale sebagai pemandangan yang menakjubkan.
"Ducati Panigale Kingdom Mega Gathering di Malaysia adalah bukti kepada semangat dan dedikasi penunggang-penunggang kami, yang mencerminkan perpaduan dan semangat keluarga Ducati."