DUCATI Malaysia Lancar Ducati Hypermotard 698 Mono (2024) Bulan Depan, 2 Varian?

TERKINI

8/22/20242 min read

DUCATI Malaysia terus memberi petanda penantian untuk kehadiran penawaran terbaharu jenama Itali itu, Ducati Hypermotard 698 Mono (2024) di pasaran Malaysia tidak akan lama.

Sedang rancak menayangkan model berkenaan di laman sosial rasminya, tempahan untuk Ducati Hypermotard 698 Mono (2024) sudah pun dibuka beberapa hari lalu.

Sekadar menyatakan 'akan tiba', tiada maklumat mengenai pelancarannya didedahkan oleh Ducati Malaysia setakat ini.

Tetapi menariknya, berdasarkan informasi terbaharu yang diperoleh, Ducati Malaysia akan melancarkan motosikal yang diberi label jentera satu silinder paling 'hardcore' pernah dihasilkan jenama Itali itu di pasaran tempatan pada bulan depan.

Dan turut mengujakan, kedua-dua varian yang ditawarkan di pasaran global dijangkakan akan turut diperkenalkan di Malaysia iaitu Standard dan RVE.

Seperti diketahui, Ducati Hypermotard 698 Mono membuat debutnya sempena Ducati World Premiere (DWP) tahun lalu.

Justeru, perkembangan terbaharu ini pastinya cukup mengujakan terutama buat peminatnya dalam segmen berkenaan.

Tampil dengan rekaan yang 'garang', antara perkara paling mendapat perhatian terhadap Ducati Hypermotard 698 Mono adalah di bahagian trenkuasanya Superquadro Mono yang didakwa Ducati sebagai salah satu enjin 1 silinder paling ekstrem pernah dipadankan kepada motosikal produksi.

Bersesaran 659 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, ia digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac 'Slipper' dan sistem 'Quicshifter'.

Dihasilkan dengan 'menyedut' teknologi MotoGP dan Ducati Panigale V4R, kuasa yang dihasilkan motosikal ini adalah 77.5 Hp pada 9,750 rpm dan tork 63 Nm pada 8,000 rpm.

Dan untuk yang merasakan angka itu tak mencukupi, Ducati turut memberikan pilihan ekzos Termignoni yang boleh meningkatkan kuasa Ducati Hypermotard 698 Mono (2024) ini kepada 85 Hp.

Tak seperti 'Abang besarnya' Ducati Hypermotard 950, Ducati Hypermotard 698 Mono (2024) yang dipadankan dengan kerangka 'Steel Trellis', turut menggunaan 'Swingarm' aluminium berkembar (bukan sebelah).

Tidak dipadankan dengan brek cakera berkembar namun tunggal (depan), antara kelebihannya adalah ia cukup ringan iaitu 151 kg (kering) selain kapasiti tangki bahan api 11 liter.

Sebagai model memakai lencana Ducati, Ducati Hypermotard 698 Mono memiliki empat mod tunggangan iaitu 'Sport, Road, Urban, Wet' yang masing-masing memiliki pemetaan tersendiri.

Turut dipadankan dengan pelbagai ciri bantuan elektronik seperti 'Kawalan Wheelie', Kawalan Slide, Sistem Brek Anti-Kunci ABS yang turut mempunyai tetapan yang berbeza. Dan kesemua tetapan boleh dibuat menerusi panel meter LCD bersaiz 3.8 inci.

Ketika ini, Ducati Malaysia sedang cuba 'mendapatkan' harga terbaik untuk Ducati Hypermotard 698 Mono (2024) dengan harga motosikal berkenaan dijual bermula pada harga $AS 12,995 (RM 57,669) di pasaran Amerika Syarikat.