DUCATI Malaysia Tayang Imej 'Siluet' Ducati Hypermotard 698 Mono, Pelancaran Dah Dekat?

TERKINI

8/16/20242 min read

DUCATI memperkenalkan penawaran terbaharunya Ducati Hypermotard 698 Mono sempena Ducati World Premiere (DWP) tahun lalu dan tak menunggu lama, model berkenaan nampaknya bakal menerjah pasaran tak lama lagi.

Bukan sekadar khabar angin, perkembangan menarik itu diperoleh menerusi perkongsian Ducati Malaysia di laman sosial rasminya bersama kapsyen 'Akan datang tidak lama lagi'.

Sekalipun tidak menyatakan tarikh motosikal berkenaan akan dilancarkan, tetapi mengikut laporan media automotif tempatan, ia berkemungkinan dilancarkan dalam tempoh terdekat.

Seperti laporan debut globalnya oleh kami sebelum ini, Ducati Hypermotard 698 Mono (2024) diberi label sebagai jentera satu silinder paling 'hardcore' pernah dihasilkan jenama Itali itu.

Meskipun bukan yang pertama, tetapi Ducati Hypermotard 698 Mono (2024) adalah jentera enjin satu silinder pertama dikeluarkan Ducati dalam tempoh tiga dekad.

Selain rekaan yang 'garang', perkara paling mendapat perhatian adalah di bahagian trenkuasanya Superquadro Mono yang didakwa Ducati salah satu enjin 1 silinder paling ekstrem pernah dipadankan kepada motosikal produksi.

Lebih mengujakan, enjin Superquadro Mono bersesaran 659 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair yang dihasilkan turut 'menyedut' teknologi MotoGP dan Ducati Panigale V4 R.

Digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac 'Slipper' dan sistem 'Quicshifter', kuasa yang dihasilkan adalah 77.5 Hp pada 9,750 rpm dan tork 63 Nm pada 8,000 rpm.

Kepada yang merasakan angka itu tak mencukupi, Ducati turut memberikan pilihan ekzos Termignoni yang boleh meningkatkan kuasa Ducati Hypermotard 698 Mono (2024) ini kepada 85 Hp.

Tak seperti 'Abang besarnya' Ducati Hypermotard 950, Ducati Hypermotard 698 Mono (2024) yang menggunakan kerangka 'Steel Trellis', 'Swingarm' aluminium berkembar (bukan sebelah).

Tidak dipadankan dengan brek cakera berkembar namun tunggal (depan), antara kelebihannya adalah ia cukup ringan iaitu 151 kg (kering) selain kapasiti tangki bahan api 11 liter.

Ducati turut memberi perhatian kepada suspensi dengan Ducati Hypermotard 698 Mono (2024) dipadankan dengan sistem cukup premium iaitu fork depan jenis terbalik (USD) jenama Marzocchi (boleh laras sepenuhnya dan penyerap hentak tunggal (belakang) juga dengan ciri boleh laras.

Set roda adalah 120/70-17 (depan) dan 160/60-17 (belakang) dengan sistem brek dijana cakera tunggal 330 mm dengan kaliper Brembo M4.32 (depan) dan cakera 240 mm (belakang).

Sebagai model memakai lencana Ducati, Ducati Hypermotard 698 Mono memiliki empat mod tunggangan iaitu 'Sport, Road, Urban, Wet' yang masing-masing memiliki pemetaan tersendiri.

Turut dipadankan dengan pelbagai ciri bantuan elektronik seperti 'Kawalan Wheelie', Kawalan Slide, Sistem Brek Anti-Kunci ABS yang turut mempunyai tetapan yang berbeza. Dan kesemua tetapan boleh dibuat menerusi panel meter LCD bersaiz 3.8 inci.

Di pasaran Amerika Syarikat, dua varian Ducati Hypermotard 698 Mono ditawarkan iaitu Standard yang dijual pada $AS 12,995 (RM 57,669) dan RVE yang dijual pada angka $AS 14,495 (RM 64,326).