DUCATI Malaysia Umum Kehadiran Ducati DesertX Rally, Monster 30° Anniversario (2024), Harga Mula RM 115.9k
PELANCARAN
7/19/20242 min read


DUCATI Malaysia mengumumkan kehadiran dua model terbaharu untuk pasaran tempatan, hari ini iaitu Ducati DesertX Rally dan Ducati Monster 30° Anniversario (2024).
Tiba sebagai varian lebih 'lasak' berbanding varisan Standard, Ducati DesertX Rally (2024), harga jualan untuk varian yang dipadankan dengan 'paruh' panjang adalah RM 160,900 (asas).
Dan seperti namanya yang memiliki perkataan 'Rally', ia diberikan peningkatan kemampuan untuk meredah laluan lasak menerusi penggunaan komponen berpestasi tinggi termasuk sistem suspensi spesifikasi perlumbaan.
Dibekalkan daripada jenama KYB, sistem suspensi spesifikasi perlumbaan menggunakan teknologi kartrij tertutup dan rawatan permukaan khas (salutan Kashima pada bahagian luar, DLC pada bahagian dalam).
Selain itu, ia turut dipadankan dengan rim Takasago EXCEL yang ringan namun tahan lasak dengan billet aluminium yang 0.5 kg lebih ringan berbandig rim standard.
Menambah istimewa model ini adalah penggunaan lever brek aluminium dan 'sump guard' daripada gentian karbon selain padanan corak grafik yang dikatakan tahan lasak dan mendapat inspiriasi daripada jentera Antoine Meo ketika pelumba itu memenangi perlumbaan Erzbergrodeo.
Tiada perubahan dari sudut trenkuasa dengan Ducati DesertX Rally (2024) kekal dijana enjin Testastretta 11-darjah L-Twin 937 cc yang menghasilkan kuasa 110 Hp pada 9,250 rpm dan tork 92 Nm pada 6,500 rpm.
Untuk Ducati Monster 30° Anniversario (2024), harga yang diumumkan adalah RM 115,900. Dan seperti namanya, ia adalah model edisi terhad dengan hanya 500 unit dihasilkan untuk pasaran global.
Dihasilkan untuk meraikan ulang tahun ke-30 model yang menggunakan nama 'Monster', ia dipadankan dengan 'liveri' istimewa iaitu 'Tricolore' dan dipadankan dengan pelbagai ciri canggih daripada Ducati.
Ducati turut memadankan Ducati Monster 30° Anniversario (2024) dengan pakej elektronik terkini termasuk Ducati Quick Shift (DQS), Cornering ABS dan Traction Control.
Turut dipertingkatkan adalah di bahagian suspensi dengan penggunaan fork jenis terbaik (USD) boleh laras penuh daripada jenama Ohlins NIX30 (depan) bersama penyerap hentak tunggal juga dari Ohlins lengkap dengan 'Steering damper' juga daripada jenama sama.
Memacu Ducati Monster 30° Anniversario (2024) adalah enjin Testastretta 11-darjah L-Twin 937 cc yang menghasilkan kuasa 111 Hp dan tork 93 Nm.
Menambah lagi keistimewaan, kemasan grafik 'Tricolore' turut dibawa kepada penutup tempat duduk belakang, nombor siri di bar hendal, penggunaan animasi istimewa dan dipadankan dengan rim ‘forged aluminium’.
Kepada yang berminat, kedua-dua model sudah pun mendarat di bilik pameran Ducati Malaysia seluruh negara.


















