DUCATI 'Merosakkan' MotoGP - Luca Marini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/6/20241 min read

HONDA berupaya mencabar Ducati seawal musim depan dan menghalang pengeluar Itali itu daripada 'merosakkan' MotoGP, kata pelumba Repsol Honda, Luca Marini.

Ducati seperti diketahui tampil dengan dominasi penuh pada musim ini dan memenangi 18 daripada 19 perlumbaan MotoGP yang berlangsung tanpa mampu dicabar pengeluar lain.

Selepas mengesahkan kejuaraan dunia kategori pengeluar lebih awal, pemburuan kejuaraan dunia pelumba juga hanya membabitkan dua pelumba daripada logo yang sama.

Sebagai perbandingan, Honda hanya mengumpul 73 mata pada musim ini berbanding 685 mata yang dipungut mata dengan pengeluar Jepun itu tidak mempunyai wakil menamatkan perlumbaan di kelompok enam terbaik pada 2024.

"Mereka nampak seperti dari planet lain ketika ini, dalam segala-galanya," kata Marini yang juga adik kepada legenda MotoGP Itali, Valentino Rossi.

"Kami perlu meningkatkan tahap kami, tetapi dalam masa sama perlu belajar sesuatu daripada mereka kerana pada pandangan saya ketika ini mereka benar-benar memusnahkan kejuaraan seperti ini.

"Jadi kami perlu mencipta sesuatu. Kami akan cuba, kerana kini saya fikir Yamaha membuat langkah yang baik. Di sini (Sepang) saya fikir mereka mengharungi minggu yang menakjubkan."

"Jadi saya fikir untuk kami bergerak dengan pantas dan memperbaiki prestasi kami secepat yang mungkin kerana ia cukup munasabah ketika ini.

"Pengeluar-pengeluar lain sedang bergelut dan jika kami bijak dan pintar, dan lebih pandai daripada mereka yang lain, saya fikir kami boleh menjadi kuasa kedua di kejuaraan jika mereka mengambil laluan yang betul tahun depan."

Di GP Malaysia, Marini turut dipintas oleh dua pelumba Ducati yang terjatuh dan bangkit meneruskan perlumbaan iaitu Marc Marquez dan Franco Morbidelli.

Marquez menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 dan Morbidelli ke-14 dengan Marini terpaksa berpuas hati di tempat ke-15 yang memberinya satu mata kejuaraan.

Honda ketika ini sah menduduki tangga tercorot kategori pengeluar dengan satu lagi pengeluar Jepun, Yamaha di kedudukan keempat.