DUCATI Multistrada Paling 'Sporty' Diperkenal, Boleh 'Sesah' Litar Lumba, Inilah Multistrada V4 RS (2024)!
TERKINI
10/20/20232 min read
DUCATI menerusi episod ke-4 Ducati World Premiere 2024 meningkatkan jumlah varian dalam keluarga Multistrada yang dilabel paling 'Sporty' dan berupaya 'disesah' di litar lumba, Ducati Multistrada V4 RS (2024).
Sebagai model Multistrada paling 'Sporty', antara kelainan unik Ducati Multistrada V4 RS (2024) berbanding varian Multistrada V4 yang lain adalah di bahagian trenkuasa.
Tidak dipadankan dengan enjin Granturismo V4 1,158 cc, 4 Silinder yang menghamburkan kuasa sekitar 170 Hp, Ducati Multistrada V4 RS dijana enjin Desmosedici Stradale 1,103 cc yang turut digunakan Ducati Panigale V4.
Selain enjin Desmosedici Stradale, ia turut menggunakan klac kering atau ‘dry clutch’ aluminum STM-EVO SBK. Begitupun, ratio gear tidak diubah mengikut karakter Panigale namun masih sama seperti Multistrada V4.
Dan kuasa yang dihasilkan oleh Ducati Multistrada V4 RS meningkat kepada 180 Hp pada 12,250 rpm dan tork 118 Nm pada 9,500 rpm.
Dari sudut rekaan, Ducati Multistrada V4 RS tidak berubah dan nampak sama seperti varian Pikes Peak atau versi terbaharu Grand Tour.
Begitupun untuk menjadikannya lebih 'Sporty', kedudukan 'Steering head' Ducati Multistrada V4 RS diposisikan kepada 24.5 darjah.
Dan seperti varian Pikes Peak (model yang dilabel paling 'Sporty' sebelum ini), Multistrada V4 RS dipadankan dengan rim aluminium Marchesini bersaiz 17 inci yang dipadankan bersama tayar Pirelli Diablo Rosso IV Corsa.
Selain itu, antara perubahan lain termasuklah kedudukan 'peg' kaki yang lebih tinggi dan kebelakang dengan posisi bar hendal yang lebih rendah dan pendek bagi menghasilkan tunggangan lebih 'Sporty'.
Di bahagian suspensi, Ducati Multistrada V4 RS dipadankan dengan sistem suspensi Ohlins Smart EC 2.0 yang sama dengan varian Multistrada V4 Pikes Peak namun datang dengan talaan berbeza.
Untuk sistem Brek, Multistrada V4 RS 'meminjam' sistem yang digunakan di Ducati Panigale V4 iaitu cakera berkembar 330 mm dengan kaliper Brembo Stylema dengan brek cakera tunggal 265 mm juga dengan kaliper Brembo.
Empat mod tunggangan tersedia - Race (gantikan Enduro), Sport, Touring dan Urban - yang tersedia mengikut kemampuan penunggang namun mod Touring dan Sports mendapat pemetaan terbaharu yang unik untuk RS.
Selain itu, kebanyakan pakej elektronik yang tersedia sama seperti Ducati Multistrada V4 S termasuk 'Adaptive Cruise Control' berpandukan radar, 'Blind Spot Detection', 'Lean-sensitive traction control', 'Wheelie control' dan Kawalan Brek Enjin.
Sebagai model 'teratas' bagi varian Multistrada, Ducati Multistrada V4 RS turut dipadankan dengan pelbagai panel gentian karbon dan turut datang dengan sistem 'Quickshifter Up-Down' dengan panel meter digital TFT berwarna lengkap dengan ciri sambungan Ducati Connect.
Turut dihasilkan bagi meraikan ulang tahun ke-20 Multistrada, Ducati turut menjelaskan yang Ducati Multistrada V4 RS (2024) akan dihasilkan dalam unit yang terhad.