DUCATI Multistrada V4 RS (2024) Tiba Di Malaysia, Unit Terhad, Asas RM 285k!
TERKINI
10/9/20242 min read


DUCATI Malaysia mengumumkan penawaran terbaharu dalam katalognya menerusi kehadiran Ducati Multistrada V4 RS (2024).
Membuat debut global pada tahun lalu, Ducati Multistrada V4 RS (2024) adalah varian teratas motosikal dalam segmen 'Adventure touring' daripada pengeluar Itali itu dan dilengkapkan dengan pelbagai komponen premium.
Untuk pasaran Malaysia, harga jualan yang diumumkan untuk Ducati Multistrada V4 RS (2024) adalah RM 285,900 (asas) bersama pilihan warna Iceberg White.
Apa yang menarik, Ducati Multistrada V4 RS (2024) adalah model yang dihasilkan dalam unit terhad dengan setiap unit akan memiliki nombor siri.
Seperti namanya yang memiliki abjad 'RS', Ducati Multistrada V4 RS (2024) adalah varian paling 'Sporty' model berkenaan yang menawarkan gabungan sempurna antara motosikal 'adventure' dan prestasi 'Superbike'.
Justeru sebagai permulaan, Ducati Multistrada V4 RS (2024) tidak dipadankan dengan rim bersaiz 19 inci (depan) seperti Ducati Multistrada V4 dan V4 S sebaliknya rim bersaiz 17 inci (depan dan belakang).
Apa yang menarik, rim Marchesini yang digunakan 2.7 kg lebih ringan berbanding rim aluminium standard.
Menerusi rekaan yang aerodinamik termasuk memiliki 'Winglet', Ducati Multistrada V4 RS (2024) didakwa lebih stabil terutama ketika menunggang dalam kelajuan tinggi yang bukan saja sesuai untuk aktiviti menjelajah, turut memiliki keupayaan 'dilenjan' di litar.
Menjana kuasa Ducati Multistrada V4 RS (2024) adalah enjin 1,103 cc Desmosedici Stradale V4 yang turut digunakan Ducati Panigale V4. Justeru, ia menjadikannya sebagai salah satu motosikal 'Adventure' paling berkuasa di pasaran.
Bersama enjin berprestasi tinggi itu, ia menghasilkan kuasa sebesar 180 Hp pada 12,250 rpm dan tork 118 Nm pada 9,500 rpm, angka yang boleh dikatakan luar biasa dalam segmennya.
Sistem transmisi yang digunakan pula adalah 6 kelajuan lengkap dengan klac kering STM EVO-SBK bersama sistem 'Quickshifter.
Untuk mengurangkan rasa panas daripada enjin Desmosedici Stradale itu, Ducati Multistrada V4 RS (2024) turut dilengkapi dengan ciri nyahaktifkan silinder belakang apabila ia berada kedaan pegun dan gear neutral apabila suhu enjin melebihi 70 darjah selsius.
Selain itu, sistem pengaliran udara turut dipertingkatkan yang membolehkan aliran udara segar disalurkan ke kaki penunggang dan injap berkenaan boleh diselaras mengikut keselesaan.
Tidak hanya memberi fokus kepada prestasi, motosikal ini turut dipadankan dengan pelbagai teknologi canggih.
Seperti model aras tinggi Ducati lain, Ducati Multistrada V4 RS (2024) memiliki sistem IMU 6-paksi yang mengawal sistem Kawalan Traksi, ABS Selekoh dan Kawalan 'Wheelie'.
Empat mod tunggangan tersedia iaitu 'Full Power', 'High', 'Medium' dan 'Low' yang masing-masing mempunyai pemetaan tersendiri.
Sistem suspensi yang digunakan juga premium iaitu semi-aktif Ohlins Smart EC 2.0 yang memberikan lebih yang turut digunakan beberapa lagi model aras perdana jenama berkenaan.
Selain itu, ia turut dilengkapi sistem brek termaju di pasaran menerusi penggunaan sistem brek Brembo Stylema yang diakui memiliki kuasa membrek yang premium dengan ABS Selekoh Bosch-Brembo 10.3ME juga datang secara standard.
Selain bar hendal dengan rekaan lebih 'Sporty', Ducati Multistrada V4 RS (2024) turut dipadankan dengan pelbagai komponen gentian karbon yang berjaya mengurangkan berat motosikal itu kepada 2.5 kg.
Selain bar hendal dan grip teraotel dengan rekaan lebih 'Sporty', panel meter yang digunakan juga adalah jenis digital TFT berwarna yang memaparkan pelbagai maklumat serta lengkap dengan ciri sambungan ke telefon bimbit dan navigasi.












