DUCATI Multistrada V4 S Grand Tour (2024) Diperkenal, Jentera 'Touring' Paling Lengkap Ducati Dah Tiba!

9/26/20232 min read

DUCATI memperkenalkan ahli baharu dalam model segmen 'Adventure touring' popularnya Multistrada, baru-baru ini yang dilengkapkan dengan nama cukup sinonim dengan aktiviti jelajah, Ducati Multistrada V4 S Grand Tour (2024).

Seperti namanya 'Grand Tour' atau GT, ia sememangnya boleh diagak sebagai model yang serba lengkap untuk penggemar 'Hard core' aktiviti perjelajahan bermotosikal daripada Ducati.

Memiliki semua ciri standard yang dimiliki Ducati Multistrada V4 S, apa yang menjadi keistimewaan buat versi 'Grand Tour' adalah ciri tambahan bukan saja 'jajan' kelengkapan atau aksesori, malah termasuk dari sudut elektronik.

Bermula di bahagian trenkuasa, Multistrada V4 S Grand Tour (2024) kekal dengan enjin bersesaran 1,158cc V4 Granturismo yang menghasilkan sekitar 170 Hp pada 10,500 rpm dan tork 125 Nm pada 8,750 rpm.

Apa yang menarik, dengan enjin ini saja, ia boleh mengurangkan 'pening' pemiliknya berikutan selang servis yang panjang. Berdasarkan rekomendasi Ducati, penukaran minyak enjin hanya perlu dilakukan setiap dua tahun atau 15,000 km dan servis 'Valve' hanya perlu dilakukan selang 60,000 km.

Dari sudut elektronik, Ducati Multistrada V4 S Grand Tour (2024) yang turut dihasilkan untuk menyambut ulang tahun ke-20 penghasilkan Multristrada ini turut memiliki sistem canggih 'Travel & Radar'.

Justeru, ia turut datang dengan ciri ‘Adaptive cruise control’ dan ‘Blind spot detection’.

Datang dengan empat mod tunggangan - Sport, Touring, Enduro dan Urban, dua mod iaitu Sport dan Touring menawarkan kuasa penuh namun untuk mod Enduro dan Urban, kuasanya dihadkan kepada 112.6 Hp.

Di bahagian suspensi Ducati Multistrada V4 S Grand Tour (2024) menggunakan sistem 'Skyhook semiactive suspension' yang turut hadir dengan fungsi 'Easy Lift' dan Ducati 'Minimum Preload'.

Sebagai motosikal yang dipadankan dengan sistem unit pengukuran inersia (IMU), ia turut datang dengan sistem seperti Kawalan Wheelie Ducati (DWC), Kawalan Traksi Ducati (DTC), Lampu Belok Ducati (DCL), Kawalan Pegun Kenderaan (VHC) dan ABS Belok.

Di bahagian panel meter, ia menggunakan panel meter TFT 6.5 inci yang seperti biasa, lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit, navigasi dan sebagainya namun apa lebih menarik, kapasiti tangki minyakmua cukup besar iaitu 60 liter.

Ciri-ciri lain yang datang secara standard termasuklah Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS), lampu LED tambahan, tongkat tengah, grip hendal dan pelana dengan fungsi pemanas.

Kepada yang merasakan apa yang diberikan untuk model GT ini masih tidak mencukupi, Ducati masih memiliki pakej tambahan seperti pilihan pelana, kit merendahkan suspensi, visor angin, beg tambahan, perkakasan gentian karbon dan aluminium dan lampu isyarat LED dinamik dengan bayaran tambahan.

Di Amerika Syarikat, harga jualan yang diumukan untuk Ducati Multistrada V4 S Grand Tour (2024) adalah AS$ 27,895 (RM 130,832) tapi jangan menjangkakan harga lebih kurang sama di Malaysia.