DUCATI Panigale V2 Superquadro Final Edition (2024) Diumumkan, Terhad 555 Unit, Berakhirnya Satu Era?

TERKINI

7/15/20242 min read

DUCATI memberi petanda era 'Sportbike' yang dipadankan dengan enjin V-Twin Superquadro bakal berakhir menerusi pengenalan Ducati Panigale V2 Superquadro Final Edition (2024).

Berikutan namanya yang memiliki perkataan 'Edisi terakhir', Ducati Panigale V2 Superquadro Final Edition (2024) berkemungkinan besar menjadi model Panigale terakhir menggunakan trenkuasa berkenaan.

Dan sebagai model edisi istimewa, hanya 555 unit Ducati Panigale V2 Superquadro Final Edition (2024) dihasilkan untuk pasaran seluruh dunia.

Tetapi apa yang mencetus bingung, tindakan Ducati ini dibuat ketika Ducati Panigale V2 sedang mengharungi tempoh terbaik dalam kempen Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dalam kelas WorldSSP ketika ini.

Selain merangkul gelaran dunia musim lalu menerusi Nicolo Bulega, pengeluar itu turut mendominasi saingan WorldSSP musim ini menerusi Adrian Huertas.

Dan bercakap mengenai Bulega, nombor 1 yang turut dijadikan kemasan grafik kepada Ducati Panigale V2 Superquadro Final Edition adalah 'tribut' kepada kejayaan pelumba Itali itu tahun lalu.

Mengulas lanjut skema warna dan corak grafik, ia mendapat sentuhan Drudi Performance dengan kerjasama Centro Stile Ducati.

Di bahagian trenkuasa, enjin V2 Superquadro pertama kali diperkenalkan untuk model 'Sportbike' pada 2011 menerusi Ducati Panigale 1199 dan menjalani pelbagai evolusi antaranya Panigale 959 (2016) sebelum dikenali sebagai Ducati Panigale V2 pada 2020.

Dan untuk Ducati Panigale V2 Superquadro Final Edition (2024), ia menggunakan enjin V2 Superquadro bersesaran 955 cc yang menghasilkan kuasa setinggi 153 Hp @ 10,750 rpm dan tork 104 Nm @ 9,000 rpm.

Untuk meningkatkan lagi 'keistimewaan' Ducati Panigale V2 Superquadro Final Edition (2024), ia turut dipadankan dengan beberapa komponen premium selain kemasan daripada gentian karbon dan aluminium.

Antara komponen dan kelengkapan yang mendapat kemasan gentian karbon adalah pelindung lengan Ayun, pelindung suspensi, pelindung klac, pelindung rantai dan 'Silencer' ekzos.

Kelengkapan yang menggunakan aluminium pula adalah seperti 'Triple clamp', penutup tangki bahan api serta 'footpegs' dari jenama Rizoma.

Dilengkapi unit pengukur inertia (IMU) 6-axis, pakej elektronik yang tersedia kepada Ducati Panigale V2 Superquadro Final Edition (2024) boleh dikatakan lengkap antaranya ABS Cornering EVO, 'Ducati Traction Control' (DTC) EVO 2, 'Ducati Wheelie Control' (DWC) EVO, Ducati Quick Shift up/down (DQS) EVO 2, 'Engine Brake Control' (EBC) EVO.

Tiga mod tunggangan tersedia (Race, Sport, Street) dan pelarasan boleh dibuat menerusi panel meter TFT berwarna bersaiz 4.3 inci lengkap dengan grafik yang diinspirasi daripada Panigale V4.

Sistem suspensi juga dipertingkatkan menerusi penggunaan sistem yang dibekalkan daripada jenama Ohlins termasuk 'Steering damper' boleh laras manakala brek menggunakan kaliper Brembo M4.32 (depan dan belakang).

Kepada yang mahu membawa Ducati Panigale V2 Superquadro Final Edition (2024) ke litar, Ducati turut menyediakan kit lumba yang membolehkannya pemilik menanggalkan nombor plat dan cermin sisi serta modul GPS.

Seperti model edisi terhad lain, setiap unit akan diberikan nombor siri selain sijil pengesahan ketulenan.