DUCATI Panigale V4 (2025) Dipertontonkan, Rekaan Baharu, Tak Guna 'Single Swing-Arm'!

TERKINI

7/26/20242 min read

DUCATI membuat kejutan ketika memperkenalkan generasi ke-7 model 'Sportbike' popularnya Panigale, Ducati Panigale V4 (2025) yang mengalami pelbagai pembaharuan termasuk didakwa agak radikal.

Dipertontonkan sempena World Ducati Week (WDW) yang sedang berlangsung di Itali ketika ini, Ducati Panigale V4 (2025) seperti jangkaan mengalami perubahan besar-besaran dari sudut rekaan yang menurut Ducati lebih mengujakan.

Dan bukan saja lebih menarik dan segar, rekaan terbaharu yang turut menampilkan bentuk lampu utama lebih langsing (mirip Desmosedici RR) juga dikatakan meningkatkan ciri aerodinamik Ducati Panigale V4 (2025).

Turut hadir dalam versi Ducati Panigale V4S, pembaharuan lain yang mungkin boleh dianggap besar adalah penggunaan 'Double Swing-Arm' yang menggantikan 'Single Swing-Arm' atau Lengan Ayun Tunggal yang sebelum ini menjadi kebanggaan Panigale.

Sekalipun ia bukan model Panigale sulung menggunakan 'Double Swing-Arm', tetapi ini kali pertama pelarasan itu dipadankan dengan model aras tinggi jenama Itali itu.

Tetapi jangan bimbang, menurut Ducati, penggunaan 'Hollow Shell-Cast Aluminium Double Swing-Arm' ini dikatakan lebih kekar dan berupaya meningkatkan prestasi motosikal berkenaan.

Malah menerusi penggunaan 'setup' terbaharu itu juga, ia dikatakan mengurangkan tahap 'Stiff' Ducati Panigale V4 (2025) sebanyak 37 peratus selain 2.8 kg lebih ringan berbanding 'Single Swing-Arm' yang digunakan pada model terdahulu.

Jadi dalam bahasa mudahnya, Ducati Panigale V4 (2025) didakwa akan lebih stabil ketika mengambil selekoh dan lebih mudah untuk ditunggang termasuk ketika 'dilenjan' di litar.

Di bahagian trenkuasa, Ducati Panigale V4 (2024) kekal menggunakan enjin Desmosedici Stradale 1,103 cc, 90-darjah V4 namun turut mengalami naik taraf di beberapa sudut termasuk di bahagian 'cam'.

Ia kini menghamburkan kuasa setinggi 216 Hp pada 13,500 rpm dan tork 120.9 Nm pada 11,250 rpm. Dan jika dipadankan dengan ekzos lumba Akrapovic, kuasanya akan meningkat kepada 228 Hp.

Dan menarik juga adalah ia turut ditala agar mampu menghasilkan bunyi yang mirip dengan jentera MotoGP Desmosedici GP.

Pembaharuan menarik lain adalam penggunaan kaliper brek Brembo Hypure - sistem brek aras tinggi terbaharu jenama itu menggantikan Stylema dan didakwa lebih ringan bersama prestasi lebih baik.

Selain itu, sistem brek yang digunakan turut dipadankan dengan sistem baharu ‘Race eCBS’ yang dibangunkan dengan kerjasama Bosch.

Untuk Ducati Panigale V4S (2025) juga, ia dipadankan dengan sistem suspensi elektronik daripada jenama Ohlins menerusi fork USD NPX-30 (depan) dan penyerap hentak tunggal TTX 36 (belakang) lengkap dengan 'Steering damper'.

Turut diperbaharui adalah penggunaan panel TFT berwarna penuh 6.9 inci dengan resolusi 1280 x 480 serba baharu.

Untuk mengurangkan berat, Ducati Panigale V4 (2025) turut menggunakan rim forged aluminium yang dipadankan bersama tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP V4.

Seperti motosikal aras tinggi Ducati lain, ia menggunakan IMU enam paksi dan memiliki pelbagai pelbagai ciri bantuan elektronik canggih antaranya Kawalan Traksi, Kawalan Jelajah, Kawalan Wheelie, 'Cornering ABS', 'Ducati Vehicle Observer' dan pelbagai lagi.

Untuk keselesaan dan kestabilan penunggang, pelana Ducati Panigale V4 (2025) 35 mm lebih panjang dan 50 mm lebih lebar serta rekaan tangki bahan api 17 liter yang lebih aerodinamik.

Menurut Ducati, Ducati Panigale V4/V4S dijangka akan memasuki pasaran Asia pada tahun depan. Sama-sama kita nantikan.