DUCATI Panigale V4 (2025) 'Gen' Ke-7 Buat Penampilan Rasmi Di Malaysia, RM 182.9k!

PELANCARAN

10/30/20242 min read

DUCATI Malaysia seperti dijangka melancarkan generasi ke-7 model berprestasi tingginya, Ducati Panigale V4 (2025) di pasaran Malaysia yang dibuat sempena pelancaran pusat pameran terbaharunya, Ducati Sg Buloh.

Apa yang menarik, jika di Thailand pelumba MotoGP Ducati Lenovo, Pecco Bagnaia menjadi antara tetamu istimewa yang hadir bagi pelancaran model berkenaan di negara itu, pelumba dengan julukan 'The Beast' atau Enea Bastianini adalah bintang tumpuan di Malaysia.

Selain Bastianini, turut hadir adalah bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang kini beraksi menggunakan jentera Ducati di ARRC bersama JDT Racing Team.

Bersama pelancaran itu adalah pengumuman harga jualan asas Ducati Panigale V4 (2025) iaitu RM 182,900.

Seperti diketahui, Ducati Panigale V4 (2025) yang dipertontonkan buat pertama kali ketika acara World Ducati Week (WDW) di Itali, Julai lalu adalah model yang mengalami pelbagai pembaharuan dan didakwa agak radikal.

Tampil dengan rekaan serba baharu yang dikatakan lebih segar dengan bentuk lampu utama lebih langsing (mirip Desmosedici RR), ciri aerodinamik Ducati Panigale V4 (2025) turut dipertingkatkan.

Tetapi perubahan yang mungkin dianggap paling mengejutkan adalah penggunaan 'Double Swing-Arm' yang menggantikan 'Single Swing-Arm' atau Lengan Ayun Tunggal yang sebelum ini menjadi kebanggaan Panigale.

Sekalipun ia bukan model Panigale sulung menggunakan 'Double Swing-Arm', tetapi ini kali pertama pelarasan itu dipadankan dengan model berprestasi aras tinggi jenama Itali itu.

Dan menurut Ducati, penggunaan 'Hollow Shell-Cast Aluminium Double Swing-Arm' ini dikatakan lebih kekar dan berupaya meningkatkan prestasi motosikal berkenaan.

Malah menerusi penggunaan 'setup' terbaharu itu juga, ia dikatakan mengurangkan tahap 'Stiff' Ducati Panigale V4 (2025) sebanyak 37 peratus selain 2.8 kg lebih ringan berbanding 'Single Swing-Arm' yang digunakan pada model terdahulu.

Justeru, Ducati Panigale V4 (2025) dalam bahasa mudahnya dikatakan akan lebih stabil ketika mengambil selekoh dan lebih mudah untuk ditunggang termasuk ketika 'dilenjan' di litar.

Mengulas trenkuasa, Ducati Panigale V4 (2025) kekal menggunakan enjin Desmosedici Stradale 1,103 cc, 90-darjah V4 namun turut mengalami naik taraf di beberapa sudut termasuk di bahagian 'cam'.

Ia kini menghamburkan kuasa setinggi 216 Hp pada 13,500 rpm dan tork 120.9 Nm pada 11,250 rpm. Dan jika dipadankan dengan ekzos lumba Akrapovic, kuasanya akan meningkat kepada 228 Hp.

Lebih menarik, ia turut ditala agar mampu menghasilkan bunyi yang mirip dengan jentera MotoGP Desmosedici GP.

Pembaharuan menarik lain adalam penggunaan kaliper brek Brembo Hypure - sistem brek aras tinggi terbaharu jenama itu menggantikan Stylema dan didakwa lebih ringan bersama prestasi lebih baik.

Selain itu, sistem brek yang digunakan turut dipadankan dengan sistem baharu ‘Race eCBS’ yang dibangunkan dengan kerjasama Bosch.

Untuk Ducati Panigale V4S (2025) juga, ia dipadankan dengan sistem suspensi elektronik daripada jenama Ohlins menerusi fork USD NPX-30 (depan) dan penyerap hentak tunggal TTX 36 (belakang) lengkap dengan 'Steering damper'.

Turut diperbaharui adalah penggunaan panel TFT berwarna penuh 6.9 inci dengan resolusi 1280 x 480 serba baharu.

Untuk mengurangkan berat, Ducati Panigale V4 (2025) turut menggunakan rim forged aluminium yang dipadankan bersama tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP V4.

Seperti motosikal aras tinggi Ducati lain, ia menggunakan IMU enam paksi dan memiliki pelbagai pelbagai ciri bantuan elektronik canggih antaranya Kawalan Traksi, Kawalan Jelajah, Kawalan Wheelie, 'Cornering ABS', 'Ducati Vehicle Observer' dan pelbagai lagi.

Dan bagi keselesaan dan kestabilan penunggang, pelana Ducati Panigale V4 (2025) juga 35 mm lebih panjang dan 50 mm lebih lebar serta rekaan tangki bahan api 17 liter yang lebih aerodinamik.

Selari dengan pelancarannya, Ducati Malaysia turut membuka tempahan untuk Ducati Panigale V4 (2025) dan penghantaran rasmi pertama dijadual sama ada pada suku pertama atau kedua tahun depan.