DUCATI Panigale V4 R (2025), Taruhan Ducati Di WorldSBK 2026 Diperkenalkan, 239 HP!

Ducati Panigale V4 R (2025) hadir sebagai pelengkap kepada barisan Panigale dan dihasilkan khusus buat pelumba trek dan pasukan perlumbaan yang mahukan prestasi maksimum tanpa perlu banyak pengubahsuaian

TERKINI

9/23/20252 min read

SELEPAS hampir setahun generasi terbaharu Ducati Panigale V4 membuat debut, Ducati akhirnya memperkenalkan jentera Superbike aras tingginya, Ducati Panigale V4 R (2025), model yang akan memacu jenama itu di pentas WorldSBK musim depan.

Sebagai model yang dikatakan paling hampir dengan jentera MotoGP, Ducati Panigale V4 R (2025) lengkap dengan teknologi aerodinamik, trenkuasa, elektronik dan transmisi yang dipertingkat.

Model homologasi baharu ini hadir sebagai pelengkap kepada barisan Panigale dan dihasilkan khusus buat pelumba trek dan pasukan perlumbaan yang mahukan prestasi maksimum tanpa perlu banyak pengubahsuaian.

Sekalipun rekaan asasnya sama seperti Panigale V4, pelbagai ciri menarik dipadankan kepada Ducati Panigale V4 R (2025). Antaranya ia menjadi motosikal produksi pertama menggunakan Corner Sidepods daripada jentera MotoGP.

Sayap baharu pada fairing itu yang disedut daripada teknologi 2021 itu dikatakan meningkatkan daya turun (downforce) sebanyak 25 peratus, bersamaan kira-kira 6 kg tambahan pada tayar hadapan ketika membrek pada kelajuan 300 km/j.

Sistem pengambilan udara hadapan turut direka semula oleh Ducati Corse, menambah tekanan udara dan menghasilkan tambahan 1.2 Hp pada kelajuan maksimum.

Dari sudut kerangka, ia kini menggunakan Front Frame dengan 40 peratus kurang kaku lateral, digabungkan dengan Hollow Symmetrical Swingarm yang baharu. Suspensi pula terdiri daripada fork Öhlins NPX25/30 dengan penyerap hentak belakang TTX36 dan damper stereng SD20, semuanya dengan talaan baharu.

Ketinggian pivot swingarm boleh dilaras dalam empat posisi (2 mm setiap satu), manakala ketinggian belakang kini 32.4 mm berbanding 13 mm sebelum ini. Pelaras pra-beban hidraulik turut disediakan untuk pelarasan pantas.

TRENKUASA

Di bahagian enjin, Ducati Panigale V4 R (2025) kekal dipadankan dengan enjin Desmosedici Stradale R 998 cc yang mengekalkan kuasa setinggi 215 Hp tetapi menerima pelbagai kemas kini dalaman.

Antaranya adalah:

  • Piston lebih ringan (–5.1%)

  • Crankshaft baharu dengan inersia lebih tinggi

  • Suntikan bahan api diposisikan semula

  • Cam ekzos direka semula

  • Rod penyambung ‘shot-peened’ untuk ketahanan

Hasilnya, tork meningkat 7% pada 6,000 rpm dan mencecah 113.9 Nm pada 12,000 rpm. Had rpm kekal pada 16,500 rpm untuk gear atas dan 16,000 rpm bagi lima gear lain.

Dengan sistem ekzos perlumbaan, kuasa meningkat kepada 235 Hp, dan jika menggunakan minyak Ducati Corse Performance, angka itu meningkat kepada 239 Hp.

Selain itu, Ducati turut memperkenalkan Ducati Racing Gearbox (DRG) kepada Ducati Panigale V4 R (2025) dengan kedudukan neutral di bawah gear pertama, serta sistem Ducati Neutral Lock (DNL) bagi mengelak pertukaran gear tidak sengaja.

Gearing akhir berubah daripada 15/42 kepada 16/43, membolehkan kelajuan maksimum 318.4 km/j dalam konfigurasi jalanan, dan 330.6 km/j dengan ekzos perlumbaan.

ELEKTRONIK

Sistem elektronik kini dilengkapi algoritma Ducati Vehicle Observer (DVO) yang mengawal ABS Cornering dan brek enjin. Race Brake Control baharu membolehkan titik membrek lebih lewat dan penggunaan brek belakang yang lebih aktif, mirip jentera MotoGP.

Panel meter pula menggunakan TFT 6.9 inci dari Panigale V4 terkini turut digunakan, dengan mod Jalan dan Trek. Selain itu, Ducati Data Logger (DDL) baharu turut tersedia sebagai aksesori, membolehkan analisis data sensor dan telemetri untuk pelarasan lebih pantas.

Dari sudut ergonomik, pelana, tangki minyak dan footpeg direka semula. Footpeg kini 10 mm lebih ke dalam, memberi sokongan lebih baik ketika membrek dan mengambil selekoh.

Bercakap mengenai brek, sistem brek pula menggunakan kaliper Brembo Hypure baharu dengan cakera 330 mm, menawarkan penyejukan dan konsistensi lebih baik.

Di bahagian roda, ia menggunakan rim aluminium tempa 5 jejari dan tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP v4.

Pilihan lain termasuk rim karbon (950 g lebih ringan), fairing perlumbaan, brek dinaik taraf dan perisian ECU untuk tayar slick.

Berdasarkan maklumat yang ada, Ducati Panigale V4 R 2025 akan mula dijual di Eropah pada November diikuti pasaran Amerika Syarikat dan antarabangsa berkemungkinan di Malaysia pada Disember. Harga di UK diumumkan pada angka £ 38,995 (sekitar RM 225,000).