DUCATI Panigale V4 SP2 (2024) Kini Di Malaysia, Asas RM 299.9k!

PELANCARAN

9/28/20232 min read

DUCATI Malaysia akhirnya membawa masuk jentera 'perangnya' di trek, Ducati Panigale V4 SP2 (2024) bersama penawaran harga menarik RM 299,900 (asas).

Dilabel sebagai model teratas Ducati dalam segnmen 'Sportbike', Ducati Panigale V4 SP2 (2024) sememangnya direka khusus untuk tunggangan di trek dan berupaya menawarkan pengalaman mengujakan kepada pemiliknya.

Sebagai model yang 'dikaitkan' dengan perlumbaan, pilihan warna dan corak grafik Ducati Panigale V4 SP2 (2024) mengambil inspirasi daripada jentera perlumbaan MotoGP ketika ujian musim sejuk Ducati 'Winter Test' iaitu hitam matte.

Untuk membuktikan ia adalah SP2, setiap unit akan turut diukir dengan nombor siri menggunakan laser yang terletak di atas bar hendal.

Seperti model-model berprestasi lain, ia turut dipadankan dengan pelbagai tambahan aksesori 'ringan' daripada gentian karbon dan turut memiliki 'Winglet' besar di bahagian 'fairing'.

Di bahagian trenkuasa, Ducati Panigale V4 SP2 (2024) dijana enjin Desmosedici Stradale V4 bersesaran 1,103 cc, Penyejuk Cecair dan digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual bersama klac kering STM-EVO SBK.

Kuasa yang dihasilkan memang cukup 'menakutkan' iaitu 215.5 Hp pada 13,000 rpm dan tork 123.6 Nm pada 9,500 rpm.

Untuk mendapatkan pelbagai maklumat ketika di trek, panel meter yang digunakan adalah 'Track Evo' yang mendapat inspirasi daripada jentera MotoGP yang lengkap dengan pelbagai maklumat.

Sebagai tambahan, sistem GPS datang secara standard untuk pengguna memantau jentera di atas trek selain turut datang dengan sistem bantuan 'Ducati Data Analyzer' untuk kegunaan di atas litar.

Sebagai model aras perdana, sistem suspensi Ducati Panigale V4 SP2 juga berada pada 'aras tinggi' dan datang dengan sistem kawalan Ohlins Smart EC 2.0 with OBTI (Objective Based Tuning Interface).

Fork yang digunakan adalah dari jenis terbalik (USD) Ohlins NPX25/30 (depan) dan penyerap hentak tunggal Ohlins TTX36 (belakang). Untuk mengendalian lebih lancar, ia turut datang dengan'Steering damper' juga dari Ohlins.

Sistem brek menggunakan cakera berkembar 330 mm dengan kaliper Brembo Stylema R (depan) dan cakera tunggal 245 mm dengan kaliper Brembo 2 Piston belakang. Turut dipadankan adalah rim magnesium Marchesini.

Sebagai model khas, pembeli turut menerima kit perlumbaan daripada Ducati bagi kegunaan di litar antaranya pelindung klac dan penutup nombor plet. Seperti Ducati Diavel V4 (2024), Ducati Panigale V4 SP2 (2024) di Malaysia turut tiba dalam unit terhad (4 unit) untuk penghantaran pertama.