DUCATI Panigale V4R Saya 'Sempurna' Minggu Ini - Nicolo Bulega

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/23/20251 min read

NICOLO Bulega melabel jentera Ducati Panigale V4R miliknya sebagai 'sempurna' ketika pelumba Itali itu tampil dengan prestasi cukup dominan di pusingan pembuka tirai Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2025 di Australia.

Sememangnya cukup menggemari Litar Phillip Island, naib juara dunia WorldSBK musim lalu itu meraih hatrik pertama kariernya dalam kejuaraan elit itu selepas turut menguasai sesi ujian pra-musim pada Isnin dan Selasa.

Kejayaan itu memberikan Bulega 62 mata maksimum dan dibezakan dengan jurang besar 26 mata dengan pencabar terdekatnya yang juga rakan sepasukannya, Alvaro Bautista.

"Saya amat gembira kerana ini adalah hatrik pertama saya di WorldSBK," kata Bulega. "Ia menakjubkan, perasaan yang hebat untuk melakukannya di litar kegemaran saya, ia sesuatu yang istimewa. Kini saya mahu pulang ke rumah untuk meraikannya.

"Saya merasa amat bagus, amat bangga dengan apa yang saya dan pasukan lakukan kerana jentera saya sempurna sejak ujian pra-musim pada Isnin sehingga Ahad dan pusingan terakhir Perlumbaan 2.

"Saya mampu mengerah sepenuhnya jentera saya setiap pusingan pada minggu ini, menikmati setiap pusingan."

Saingan WSBK 2025 akan kembali ke Eropah dengan pusingan kedua dijadual pada 28 hingga 30 Mac depan di Portimao, Portugal.