DUCATI Panigale World Champion Replica Limited Edition (2023) Bakal Masuk Indonesia, Harga Mula RM 682.5k!

TERKINI

4/1/20241 min read

DUCATI memperkenalkan Ducati Panigale World Champion Replica Limited Edition (2023) sebagai penghargaan kepada barisan juaranya musim lalu dan ada perkembangan menarik membabitkan model edisi terhad itu muncul di seberang.

Secara keseluruhan, Ducati membariskan lima varian Ducati Panigale World Champion Replica Limited Edition (2023) yang dipadankan dengan skema warna jentera lumba milik juara dunia MotoGP, Francesco Bagnaia, Jorge Martin (Naib juara) dan Marco Bezzecchi (Ketiga).

Dan dua lagi varian adalah daripada pentas WSBK iaitu milik juara WorldSBK, Alvaro Bautista dan Nicolo Bulega (WorldSSP).

Seperti model edisi terhad lain, ia dihasilkan dalam unit terhad seluruh dunia iaitu 263 unit untuk Bagnaia, Martin (189 unit), Bezzecchi (72 unit), Bautista (219 unit) dan Bulega (111 unit).

Untuk model edisi terhad Bagnaia, Martin, Bezzecchi dan Bautista, ia menggunakan model asas Ducati Panigale V4 manakala untuk Bulega, ia menggunakan model Ducati Panigale V2.

Menurut Ducati Indonesia, unit yang diperuntukkan untuk pasaran negara itu adalah 5 unit setiap varian.

Begitupun, jumlah berkenaan berkemungkinan berkurangan iaitu 1 atau 2 unit bergantung kepada permintaan, menurut laporan media automotif di negara berkenaan.

Dan harga yang diumumkan juga cukup 'menakutkan' iaitu bermula (RM 682,833) sehingga (RM 742,311).

Apa yang menarik, peminat tidak perlu menunggu lama kerana menurut Ducati Indonesia, ia dijangka akan tiba pada suku kedua tahun ini.

Selain pilihan skema warna istimewa termasuk tandatangan di tangki bahan api, antara keistimewaan lain adalah kesemua model ini dipadankan dengan komponen Ducati Performance seperti 'dry clutch', Footpeg Rizoma, Brembo Stylema dan sistem ekzos Akrapovic.

Turut diperoleh pemilik adalah seperti sijil pemilikan dan kotak penghantaran istimewa daripada Ducati.

Tidak diketahui sama ada Ducati Malaysia akan membawa masuk Ducati Panigale World Champion Replica Limited Edition (2023) ke pasaran tempatan tetapi melihat kepada populariti jenama itu, kemungkinannya cukup besar. Sama-sama kita nantikan.