DUCATI Perkenal Desmo450 MX (2024), Ducati Ucap 'Hai' Ke Perlumbaan MX!

TERKINI

2/2/20241 min read

DUCATI memulakan langkah untuk menyertai segmen perlumbaan lasak 'Hardcore' MX secara serius apabila memperkenalkan jagoan terbaharunya, Ducati Desmo450 MX (2024), baru-baru ini.

Apa yang menarik, Ducati dilihat memang cukup serius dengan perancangan baharunya itu dengan pelancaran turut berlangsung serentak dengan majlis pengenalan jentera MotoGP dan WorldSBK Ducati Corse di Itali.

Dicipta untuk mengharungi perlumbaan 'motocross' sejati, begitupun perincian mengenai jentera Ducati Desmo450 MX masih belum didedahkan secara sepenuhnya.

Begitupun, ia dihasilkan daripada 'input' yang diperoleh daripada barisan jurutera dan pelumba-pelumba 'motocross' berpengalaman Itali.

Mengetuai projek berkenaan adalah juara MXGP sembilan kali, Antonio "Tony" Cairoli dan Alessandro Lupino.

Ringkasnya, menjana model Ducati Desmo450 MX (2024) pula adalah enjin ikonik Ducati ‘Desmodromic’ bersesaran 450 cc, 1 Silinder dan ia turut dipadankan dengan pelbagai komponen yang terkenal dengan motosikal dalam segmen berkenaan.

Untuk melepasi syarat homologasi bersaing di kejuaraan MX di Amerika Syarikat yang disifatkan terbaik di dunia, Ducati Desmo450 MX (2024) dijadual memasuki barisan pengeluaran pada separuh kedua 2025.

Setakat ini, Ducati dijangka akan membariskan Ducati Desmo450 MX pada enam perlumbaan Italian Motocross Pro 2024 dalam kelas Prestige MX1 yang dijadual bermula pada Mac hingga September depan dan bersaing di bawah lencana pasukan Ducati Corse R&D Factory MX Team.