DUCATI Rasmi Ikat Fermin Aldeguer, Pengganti Jorge Martin?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/19/20241 min read

FERMIN Aldeguer, juara perlumbaan Moto2 Grand Prix (GP) Malaysia 2023 sah menyertai saingan di kelas elit MotoGP selepas mengikat kontrak bersama Ducati bagi musim 2025 dan 2006.

Pelumba pasukan Speed Up Racing yang menggunakan casis Boscoscuro itu mencipta kejutan pada musim lalu apabila memenangi empat perlumbaan terakhir secara berturut-turut termasuk di Sepang.

Di MotoGP, pelumba kelahiran Sepanyol itu dikatakan akan disenarai bersama pasukan satelit Ducati, Pramac Racing selepas Ducati tidak menyatakan secara spesifik pasukan yang akan disertainya.

"Saya mahu mengucapkan selamat datang kepada Fermin ke keluarga Ducati dan kami tidak sabar untuk melihat beliau menunggang jentera kami Desmosedici GP," kata Pengurus Besar Ducati Corse, Gigi Dall’Igna.

"Saya teruja dengan perjanjian ini kerana Aldeguer adalah salah seorang pelumba terbaik dalam generasi baharu MotoGP.Sejak beberapa tahun lalu, kami sudah mengikuti evolusinya, pada musim lalu, dia menunjukkan kalajuan yang menakjubkan.

"Dia masih amat muda dengan segala potensi dan karakter untuk melakukannya dengan baik, dan kami akan memberinya segala sokongan teknikal untuk membantunya berkembang."

Aldeguer pada musim lalu sudah dikaitkan dengan perpindahan ke MotoGP sebelum mengesahkan akan mematuhi kontraknya bersama pasukan Speed Up Moto2.

"Saya amat teruja dengan peluang ini, terima kasih kepada Ducati, saya berjaya mencapai impian yang saya idamkan sejak kecil," kata Aldeguer.

"Masanya sudah tiba untuk saya melakukan langkah yang besar dan bersaing dengan pelumba-pelumba terbaik dunia, dan lebih pada itu, melakukannya dengan jentera terbaik di grid.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Ducati, terutama kepada Gigi Dall'Igna atas kepercayaan yang mereka miliki ke atas saya sejak awal perbincangan kami.

"Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada Luca Boscoscuro atas secara apa yang kami kongsikan dan apa yang akan kami harungi tahun ini," katanya.

Pramac Ducati ketika ini dipacu dua pelumba, Martin dan Franco Morbidelli namun penyandang juara dunia musim lalu, Martin sejak awal memberitahu destinasinya adalah pasukan 'Factory' pada musim depan.

Selain Pramac, Ducati memiliki dua lagi pasukan satelit iaitu VR46 dan Gresini.