DUCATI Rekod Peningkatan 5% Jualan H1 2023, 34,976 Unit Keseluruhan, Multistrada V4 Paling Laku!

7/21/20231 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal premium Itali, Ducati meneruskan rekod jualan memberangsangkan dengan mencatatkan peningkatan 5 peratus jualan bagi Separuh Pertama (H1) 2023 berbanding tempoh sama, tahun lalu.

Secara keseluruhan, Ducati berjaya menjual 34,976 unit motosikalnya di seluruh dunia sepanjang tempoh berkenaan.

Dan motosikal yang paling mendapat sambutan adalah Ducati Multistrada V4 yang mencatatkan sejumlah 6,382 unit jualan. Ia diikuti Ducati Monster (4,299 unit) dan Scrambler Ducati 800 (3,581 unit).

Naib Presiden Jualan Global Dan Selepas Jualan Ducati, Francesco Milicia berkata, separuh pertama 2023 adalah tahun terbaik Ducati dari sudut penghantaran.

"Kami mencapai rekod 34,976 unit penghantaran motosikal yang membuktikan pelanggan kami terus menghargai produk kami yang ketika ini lebih meluas. Masalah bekalan yang kami hadapi tahun lalu sudah pun berlalu tetapi persaingan dalam pasaran global ketika ini lebih sengit selepas era pasca Covid-19 berikutan ketersediaan produk-produk yang bagus di pasaran.

"Komitmen kami adalah untuk menguatkan kepuasan hati pelanggan kami (Ducatisti) kini lebih kuat dan kepercayaan mereka yang berterusan kepada kami di Borgo Panigale adalah motivasi tambahan."

Itali kekal sebagai pasaran utama Ducati dengan 6,639 unit motosikal diserahkan, peningkatan 10 peratus berbanding 2022 diikuti pasaran Amerika Syarikat (4,505 unit) naik 11 peratus diikuti Jerman yang mencatat peningkatan 13 peratus (4,217 unit).

Setakat ini, Ducati sudah memperkenalkan lima pilihan warna baharu untuk beberapa model motosikalnya bagi versi 2024 iaitu Ducati SuperSport 950 S (Stripe Livery), Ducati Monster (Iceberg White), Ducati Hypermotard 950 RVE (Graffiti Livery Evo), Ducati Panigale V2 (Black on Black Livery) dan Ducati Multistrada V2 S (Black & Street Grey).

Naib Presiden Jualan Global Dan Selepas Jualan Ducati, Francesco Milicia