DUCATI Riding Experience (DRE) Road Academy Kini Tersedia Di Malaysia

TERKINI

4/30/20242 min read

DUCATI Malaysia, sebagai inisiatif untuk meningkatkan kemahiran menunggang serta menggalakkan amalan tunggangan selamat menganjurkan program terkenalnya - Ducati Riding Experience (DRE) Road Academy yang pertama di negara ini.

Sebelum membukanya kepada umum, Ducati Malaysia menjemput para pengamal media serta pempengaruh membabitkan automotif untuk merasai sendiri pengalaman DRE Road Academy, baru-baru ini dan input yang diperoleh memang positif.

Apa yang menarik, sekalipun direka khas oleh Ducati, DRE Road Academy tidak mengamalkan sikap 'pilih bulu' kerana ia terbuka kepada semua pemilik motosikal tanpa mengira jenama.

Dan menurut Ducati Malaysia, DRE Road Academy yang akan dianjurkan dalam beberapa sesi berbeza sepanjang tahun ini dan berdasarkan maklumat yang diperoleh, sambutan yang diterima cukup menggalakkan.

Kepada yang baru mengenali DRE, ia adalah salah program yang disediakan oleh Ducati di seluruh dunia yang memberikan pengalaman kepada peminat motosikal untuk menerima latihan daripada pakar, termasuk pengalaman menunggang trek lumba selain peluang untuk merasai sendiri pengalaman menunggang pelbagai jenis motosikal Ducati.

Dan khusus untuk DRE Road Academy - yang direka dengan teliti dan memberikan pengalaman latihan motosikal unggul - ia turut boleh disertai penunggang 'beginner' dan menawarkan gabungan pembelajaran teori serta latihan praktikal dan dikendalikan oleh Pengajar DRE bertauliah.

Ketua Pegawai Operasi Ducati Malaysia, Dennis Michael yang turut hadir pada program pertama DRE Road Academy berkata, Ducati Malaysia komited untuk mempromosikan tunggangan bertanggungjawab di kalangan penunggang motosikal di Malaysia.

"Kami komited untuk meningkatkan kemahiran keselamatan penunggang melalui latihan praktikal, dan kami teruja untuk menawarkan pengalaman langsung kepada prospek yang tidak sabar untuk belajar dan menerima cara tunggangan Ducati."

Untuk DRE Road Academy di Malaysia, ia dikenalikan oleh tiga pengajar warga Malaysia yang terlatih mengikut piawaian yang disediakan Ducati di seluruh dunia.

Ketiga-tiga mereka adalah Haizal Omar, Kevin Lee dan Ahmad Nadzrey.

Pada sesi latihan teori, ia memberi tumpuan kepada pengetahuan asas sebagai penunggang, penjelasan mengenai teknik tunggangan, posisi menunggang, laluan tunggangan, tumpuan penunggang dan banyak lagi.

Ia kemudian diikuti latihan praktikal yang menguji kemampuan peserta di lokasi yang disediakan membabitkan pelbagai ujian termasuk latihan membrek, slalom, bulatan dan sebagainya.

Dan seperti program latihan lain, ia disempurnakan dengan penyampaian sijil penyertaan kepada setiap peserta.

Kepada yang berminat, peluang untuk menyertai DRE Road Academy masih terbuka dan untuk mendaftar atau untuk mendapatkan maklumat lanjut, anda boleh hubungi atau mengunjungi cawangan pengedar sah Ducati terdekat.