DUCATI Sah Guna Tiga GP25 Musim Depan, Ini Pandangan Pecco
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/2/20241 min read


DUCATI mengesahkan hanya tiga jentera berstatus 'kilang' akan disenaraikan dalam kempen MotoGP 2025 dan ia diakui pelumbanya, Francesco Bagnaia akan memberikan impak kepada pengeluar Itali itu.
Menurut Bagnaia atau lebih dikenali sebagai Pecco, pngesahan Ducati itu, yang dibuat ketika mengumumkan pasukan VR46 sebagai pasukan satelit rasmi bermula musim depan akan mengakibatkan pasukan itu kehilangan data.
Tidak seperti Pramac tahun ini, VR46 hanya akan memperoleh satu jentera berstatus GP25 dengan dua lagi jentera rasmi akan digunakan Bagnaia dan rakan sepasukannya musim depan, Marc Marquez.
"Bukan kekurangan yang besar, tetapi empat jentera lebih baik berbanding tiga," kata Bagnaia kepada media di Silverstone.
"Empat jentera memberikan kamu lebih data. Kamu akan lebih memahami sesuatu perkara. Jadi bagi saya, ia lebih baik. Tetapi bukan saya yang memutuskan mengenai perkara ini.
"Ia lebih baik kerana, ketika ujian, kamu boleh memberikan keempat-empat pelumba kamu untuk melakukan sesuatu. Malah pada tahun ini, saya masih belum menyelesaikan kerja ketika ujian.
"Lebih baik untuk mempunyai empat jentera untuk diberikan kepada pasukan-pasukan 'kilang' jentera yang sama," katanya.
Selain sebuah jentera GP25, VR46 akan diberikan jentera GP24 untuk digunakan pelumba pasukan itu musim depan dengan teka-teki membabitkan barisan pelumba masih belum dijawab.
Begitupun dalam satu temuramah di Silverstone, ada bos Ducati membuat pendedahan yang pelumba yang bakal memacu pasukan itu adalah Fabio Di Giannantonio yang akan menunggang GP25 selain Franco Morbidelli.
Bagnaia ketika ini sedang memimpin carta kejuaraan pelumba MotoGP dengan kelebihan 10 mata di depan pencabar terdekatnya, Jorge Martin dari Pramac Racing Ducati.
