DUCATI Sangkal Dakwaan GP26 Dihasilkan Khusus Untuk Marc Marquez
Spekulasi menyatakan jentera Ducati ditala khusus untuk Marc Marquez bertiup kencang berikutan kemerosotan prestasi rakan sepasukannya, Pecco Bagnaia, apatah lagi pelumba Sepanyol itu pernah dikaitkan dengan situasi sama ketika mewakili Honda
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/14/20261 min read


BOS Ducati Lenovo, Davide Tardozzi menolak 'cakap-cakap' yang mendakwa hala tuju pembangunan jentera Ducati GP dipengaruhi oleh kehendak Marc Marquez.
Tuduhan itu timbul susulan prestasi cemerlang juara dunia 9 kali itu yang menjadi satu-satunya pelumba Ducati berada di kedudukan 5 teratas kejuaraan dunia selepas berakhir Grand Prix (GP) Indonesia.
Selain bergelar pelumba Ducati tunggal yang memenangi lebih daripada satu perlumbaan pada musim 2026 setakat ini, Marquez juga hanya dipisahkan 2 mata di belakang pendahulu, Jorge Martin dari Aprilia Racing manakala Fabio Di Giannantonio (VR46 Ducati) di tangga ke-6 dengan jurang 110 mata.
Spekulasi menyatakan jentera Ducati ditala khusus untuk pelumba Sepanyol itu semakin bertiup kencang berikutan kemerosotan prestasi rakan sepasukannya, Pecco Bagnaia, apatah lagi Marquez pernah dikaitkan dengan situasi sama ketika mewakili Honda.
Begitupun ketika bercakap kepada stesen televisyen Sky Italy selepas perlumbaan di Mandalika, Tardozzi menyifatkan dakwaan itu sebagai 'gosip liar' yang sama sekali tidak berasas dan tidak tepat.
"Saya menentang keras pihak yang mendakwa Marquez mengubah pembangunan jentera mengikut keperluannya sendiri. Ia sama sekali tidak benar dan bukan begitu cara kami bekerja," katanya.
Tardozzi menegaskan, mana-mana individu yang terbabit dalam pembangunan jentera Ducati mengetahui dengan jelas sumbangan data setiap pelumba, serta usaha kilang untuk memenuhi permintaan kesemua mereka termasuk Bagnaia.
Tambahnya, pasukan dari Itali itu sentiasa mempunyai keupayaan untuk membangunkan jentera mengikut kesesuaian peribadi setiap pelumba, dan kejayaan jentera di tangan Marquez tidak bermakna ia akan digunakan secara seragam untuk pelumba lain.
"Sebagai bukti, Bagnaia menggunakan 'fairing' dan tetapan aerodinamik lengan ayun yang berbeza daripada Marquez. Malah pelumba lain termasuk Alex Marquez dan Di Giannantonio juga mempunyai kebebasan untuk memilih komponen mereka sendiri," katanya.

