DUCATI Sapu Bersih Perlumbaan Sprint Di Mandalika, Bagnaia Juara
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/28/20242 min read


FRANCESCO Bagnaia menebus kehampaannya di Misano, minggu lalu dengan menjuarai Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Indonesia 2024 yang turut menyaksikan Ducati menguasai kedudukan podium di Mandalika, hari ini.
Lebih menarik, pasukannya Ducati Lenovo turut menamatkan perlumbaan di kedudukan 1,2 selepas seorang lagi pelumba, Enea Bastianini melepasi garisan penamat sebagai naib juara.
Dan keajaiban turut dilakukan juara dunia lapan kali, Marc Marquez daripada Gresnini Ducati melengkapkan kedudukan podium sekalipun memulakan perlumbaan di petak ke-12.
Pendahulu kejuaraan, Jorge Martin dari Pramac Ducati sekali lagi berdepan tempoh malang apabila terjatuh di awal perlumbaan dan meskipun berjaya meneruskan perlumbaan, kedudukan ke-10 tidak memberinya sebarang mata kejuaraan.
Apa yang mengecewakan, pelumba kelahiran Sepanyol itu memulakan perlumbaan di petak utama dan terjatuh ketika sedang memimpin perlumbaan di pusingan pertama.
Ducati dalam pada itu turut meneruskan penguasaannya dengan dua lagi pelumba yang bersama juara dunia 2024 kategori pengeluar itu turut menamatkan perlumbaan di tempat ke-4 dan ke-5 menerusi Marco Bezzecchi (V46 Ducati) dan Franco Morbidelli (Pramac Ducati).
Pelumba bukan Ducati terbaik sekali lagi diisi pelumba 'Rookie' tunggal MotoGP musim ini, Pedro Acosta yang memulakan perlumbaan di petak ketiga.
Pelumba Aprilia, Maverick Vinales menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-7 dan pelumba pasukan satelit Honda, Johann Zarco (LCR Honda) melepasi garisan penamat di tangga ke-8.
Seorang lagi pelumba VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio meraih mata terakhir yang diperuntukkan dalam Perlumbaan Sprint.
Kemenangan Bagnaia di Mandalika turut menyaksikan kedudukan Martin di puncak carta kejuaraan pelumba kini hanya dibezakan 12 mata.
Keputusan Perlumbaan Sprint GP Indonesia 2024
Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP24), 19m 41.354s
Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +0.107s
Marc Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +1.701s
Marco Bezzecchi (ITA) VR46 Ducati (GP23) +3.072s
Franco Morbidelli (ITA) Pramac Ducati (GP24), +5.967s
Pedro Acosta (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), +6.210s
Maverick Viñales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +6.664s
Johann Zarco (FRA) LCR Honda (RC213V), +6.938s
Fabio Di Giannantonio (ITA) VR46 Ducati (GP23), +7.706s
Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP24), +9.104s
Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +9.618s
Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +9.843s
Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +11.118s
Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +12.418s
Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +12.579s
Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +12.952s
Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +13.351s
Luca Marini (ITA) Repsol Honda (RC213V), +15.496s
Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), +21.895s
Augusto Fernandez (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), DNF
Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), DNF
