DUCATI Sapu Bersih Podium MotoGP Di Sepang, Bastianini Jadi Juara!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/12/20232 min read


ENEA Bastianini membuktikan dia sememangnya layak untuk terus bergelar pelumba pasukan 'Factory', Ducati Lenovo dengan menjuarai perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2023, hari ini.
Memulakan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang di petak kedua, lebih manis adalah kemenangan Bastianini di Sepang adalah yang pertama buatnya pada musim ini yang dipalit dengan pelbagai episod kecederaan.
Begitupun, kemenangan yang diraih pelumba kelahiran Itali itu jelas tak mudah selepas dia diasak sengit pemenang Perlumbaan Sprint semalam, Alex Marquez.
Alex yang berlumba bersama pasukan satelit Ducati, Gresini pada satu ketika nampak agresif sebelum nampak seperti mengendurkan tekanan dan berpuas hati di tempat kedua.
Posisi terakhir di podium menjadi milik rakan sepasukan Bastianini, Francesco Bagnaia yang juga pendahulu kejuaraan dunia MotoGP 2023.
Turut disaing sengit seorang lagi pencabar utama kejuaraan dunia MotoGP 2023 Jorge Martin dari Pramac Ducati, Bagnaia yang pada satu ketika berjaya dipintas sebelum merampak kembali kedudukan itu dan kekal di posisi ketiga hingga penghujung perlumbaan.
Keputusan itu menyaksikan Bagnaia kembali menjarakkan kelebihannya dengan Martin kepada 14 mata sebelum angka itu dicantas semalam.
Sementara itu, Yamaha turut memperoleh keputusan yang positif di Sepang apabila kedua-dua pelumbanya, Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli masing-masing menamatkan perlumbaan di tangga ke-5 dan ke-7 mengapit Marco Bezzecchi.
Sementara itu, nasib malang Aprilia di Sepang berterusan yang menyaksikan tiga daripada empat pelumbanya di atas litar tak berjaya menamatkan perlumbaan selepas terjatuh.
Paling malang pastinya kedua-dua pelumba pasukan kendalian rakyat Malaysia, RNF Racing yang menyaksikan Miguel Oliveira terjatuh manakala Raul Fernandez berdepan masalah teknikal.
Jaguh Repsol Honda, Marc Marquez dalam pada itu menjadi pelumba Honda terbaik dengan menamatkan perlumbaan di tangga ke-13 manakala juara dunia WorldSBK 2023, Alvaro Bautista melepasi garisan penamat di tangga ke-17.
Selain itu, keputusan di Sepang turut menyaksikan Bezzecchi kini secara matematik sudah terkeluar daripada pemburuan kejuaraan dunia berbaki dua pusingan perlumbaan di Qatar dan Valencia.
Keputusan MotoGP GP Malaysia 2023
1. Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP23), 39m 59.137s
2. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP22), +1.535s
3. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP23), +3.562s
4. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP23), +10.526s
5. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +15.000s
6. Marco Bezzecchi (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22), +16.946s
7. Franco Morbidelli (ITA) Monster Yamaha (YZR-M1), +18.553s
8. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +19.204s
9. Fabio Di Giannantonio (ITA) Gresini Ducati (GP22), +19.399s
10. Luca Marini (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22), +19.740s
11. Maverick Viñales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23), +21.189s
12. Johann Zarco (FRA) Pramac Ducati (GP23), +23.598s
13. Marc Marquez (SPA) Repsol Honda (RC213V), +27.079s
14. Augusto Fernandez (SPA) Tech3 GASGAS (RC16), +28.940s
15. Pol Espargaro (SPA) Tech3 GASGAS (RC16), +29.849s
16. Iker Lecuona (SPA) LCR Honda (RC213V), +50.960s
17. Alvaro Bautista (SPA) Aruba.It Ducati (GP23), +53.564s
18. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +42.162s
Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), DNF
Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23), DNF
Raul Fernandez (SPA) RNF Aprilia (RS-GP22), DNF
Miguel Oliveira (POR) RNF Aprilia (RS-GP22), DNF
Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), DNF
