DUCATI Sedang Teliti Permintaan VR46

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/13/20241 min read

DUCATI memiliki kontrak bersama pasukan satelit MotoGP VR46 sehingga penghujung musim ini dan perbincangan membabitkan kerjasama kedua-dua entiti itu sedang berjalan.

Tiba dengan 'wajah' baharu menerusi kerjasama dengan penaja utama Pertamina musim ini, Pengurus VR46 Pablo Nieto sebelum ini menegaskan pihaknya mahu meneruskan kerjasama dengan Ducati.

Dan menariknya, perbincangan membabitkan perkara itu sudah pun berlangsung dan turut diakui 'orang besar' di Ducati Corse sendiri.

Selain Ducati, VR46 turut dikaitkan dengan Yamaha yang memiliki hubungan baik dengan pemilik pasukan, Valentino Rossi selain KTM.

Tetapi menurut Pengurus Besar Ducati Corse, Gigi Dall’Igna, pihaknya sedang meniliti perkara membabitkan kontrak VR46.

"Ia tidak akan mudah, sudah tentu," kata Dall'Igna memetik laporan Crash,net. "Kerana ada beberapa pengeluar juga berminat dengan pasukan ini (VR46). Tetapi kami sedang berusaha dan kita akan lihat apa yang akan berlaku."

Pengurus pasukan Ducati Lenovo, Davide Tardozzi turut mengakui perbincangan mengenainya sedang berjalan.

"Sesuatu sedang dibincangkan. VR46 memberitahu kami yang mereka mahu memuktamadkannya dengan kami, tidak lama lagi," kata Tardozzi.

"Jadi sejujurnya ia kini di tangan Gigi dan orang Valentino Rossi. Ia sesuatu yang kami ingin teruskan untuk tempoh dua tahun lagi."

Nieto sebelum ini menegaskan pasukan itu gembira bersama Ducati dan ideanya adalah untuk meneruskan kerjasama dengan pengeluar itu.

VR46 muncul sebagai antara pencabar kejuaraan MotoGP musim lalu dan meraih kemenangan pertamanya dalam kelas elit itu di Argentina menerusi Marco Bezzecchi.

Dan Bezzecchi kekal sebagai antara pencabar kepada Francesco Bagnaia dan Jorge Martin sebelum dilanda masalah kecederaan dengan rakan sepasukannya, Luca Marini menyertai Repsol Honda, musim ini.

Seperti musim lalu, Bezzecchi dan rakan sepasukan baharunya, Fabio di Giannantonio akan berlumba dengan jentera setahun lebih tua, GP23.

Sebelum ini, Rossi mencipta sedikit kejutan apabila menjalani ujian menggunakan jentera Yamaha, R1M ketika di Portimao, Portugal bulan lalu.