DUCATI Streetfighter V4 Lamborghini (2024) Tiba Di Malaysia, RM 460.9k, 1 Unit Dah Ada Pemilik!

PELANCARAN

1/26/20241 min read

DUCATI Malaysia secara rasmi membawa masuk model edisi terhad Ducati Streetfighter V4 Lamborghini (2024) yang tiba pada harga jualan asas RM 460,900.

Ketika diperkenalkan di peringkat global, hanya 630 unit Ducati Streetfighter V4 Lamborghini (2024) dihasilkan dengan Ducati Malaysia menerima dua unit model berprestasi berkenaan.

Dan menariknya, satu daripada unit yang tiba di Malaysia sudah mempunyai pemilik iaitu Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin.

Sebagai info, Ducati Streetfighter V4 Lamborghini (2024) terhasil daripada kolaborasi Ducati dan Lamborghini yang memiliki sejarah panjang di Motor Valley, Itali.

Sebagai model edisi terhad, antara keistimewaan Ducati Streetfighter V4 Lamborghini (2024) adalah penggunaan skema warna istimewa, komponen gentian karbon dan titanium yang mengambil inspirasi daripada model kereta mewah berprestasi Lamborghini Huracan STO.

Ketua Pegawai Operasi Ducati Malaysia, Dennis Michael berkata kehadiran Ducati Streetfighter V4 Lamborghini membuktikan bahawa peminat Ducati Malaysia adalah antara yang paling bersemangat di dunia.

Berbalik kepada Ducati Streetfighter V4 Lamborghini (2024), antara keistimewaan model ini adalah penggunaan rim dengan rekaan yang sama seperti Huracan STO lengkap dengan kunci nat tengah titanium untuk roda belakang.

Antara komponen yang digantikan dengan gentian karbon pula adalah seperti fender depan dan belakang, penutup dan kowl tangki, gad tumit, pad pelana belakang, penutup panel meter, penutup suis penghidup, pelindung sproket belakang dan beberapa lagi.

Selain itu, ia turut dipadankan dengan bit Billet aluminum daripada jenama Rizoma dengan peg kaki boleh laras dan lever brek dan klac aluminium ringan.

Dan seperti model edisi terhad lain, ia turut dipadankan dengan sistem ekzos titanium Akrapovic dengan muncung gentian karbon.

Mengulas bahagian trenkuasa, Ducati Streetfighter V4 Lamborghini dipadankan dengan enjin Desmosedici Stradale 90º V4 1,103 cc dengan transmisi 6 kelajuan klac manual yang padu.

Kuasa yang dihamburkan adalah 208 Hp pada 13,000 rpm dan tork 123 Nm pada 9,500 rpm dan tiada perubahan dari sudut teknologi berbanding Ducati Streetfighter V4 standard.

Informasi lain untuk motosikal yang benar-benar 'kacak' ini adalah seperti berat 178 kg, tinggi pelana 845 mm dan kapasiti tangki bahan api sebesar 17 liter.