DUCATI Streetfighter V4,V4S (2024) Dah Sampai Malaysia, Harga Asas RM 141.9k, RM 165.9k!

TERKINI

9/30/20232 min read

SELAIN Ducati Panigale V4 SP2 dan Ducati Diavel V4 (2024), Ducati Malaysia turut mengemaskini penawaran dalam segmen 'Super Naked' menerusi kehadiran Ducati Streetfighter V4 dan V4S (2024).

Untuk Ducati Streetfighter V4 (2024), harga yang diumumkan adalah RM 141,900 (asas) tidak termasuk cukai jalan, insuran dan pendaftaran.

Manakala untuk varian lebih 'hardcore' iaitu Ducati Streetfighter V4S (2024), harga jualan yang dipamerkan di katalog adalah RM 165,900 juga asas.

Sebagai motosikal yang dikatakan Ducati 'tanda aras' baharu dalam segmen 'Super Naked', kedua-dua versi Ducati Streetfighter V4 dan V4S (2024) dipadankan dengan enjin Desmosedici Stradale V4 bersesaran 1,103 cc yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 208 Hp pada 13,000 rpm dan tork 123 Nm pada 9,500 rpm.

Dari sudut rekaan, Ducati Streetfighter V4,V4S (2024) tampil dengan rekaan agresif dengan bahagian depan didakwa mendapat inspirasi daripada watak komik Joker. Sebagai model yang dicipta untuk kelajuan dan boleh 'disesah' di trek, ia turut dipadankan dengan 'Winglet' di bahagian sisi.

Sebagai model terkini Ducati, Ducati Streetfighter V4,V4S (2024) turut dipadankan dengan pakej elektronik terbaharu. Empat mod kuasa ditawarkan iaitu Full, High, Medium, Low yang masih-masing memiliki tetapan tersendiri.

Sebagai model yang dikatakan paling rapat dengan Ducati Panigale V4, ia turut menggunakan panel meter TFT berwarna 5 inci dengan ciri 'Track Evo' juga tersedia namun sebagai pilihan.

Sistem bantuan tunggangan elektronik lain termasuklah Bosch ABS Selekoh, Kawalan Traksi, Kawalan Whwwlie, Kawalan Slide dan Kawalan Brek Enjin.

Turut tersedia adalah 'Launch Control', sistem Ducati 'Quickshifter' dan sistem brek dipadankan dengan kaliper Brembo Stylema.

Untuk Ducati Streetfigther V4 (2024), ia dipadankan dengan suspensi depan Showa BPF dan penyerap hentak tunggal belakang Sachs lengkap dengan 'Steering damper' juga dari Sachs.

Datang dengan nama Ducati Streetfighter V4S (2024), versi berkenaan mendapat beberapa naik taraf terutama di bahagian suspensi. Dipadankan dengan sistem suspensi elektronik Ohlins Smart EC 2.0, fork depan menggunakan Ohlin NIX30 dan penyerap hentak tunggal Ohlins TTX36 (belakang).

Turut melengkapi varian Ducati Streetfighter V4S (2024) adalah rim magnesium Marchesini serta penggunaan bateri 'lithium-ion'.

Informasi penting lain adalah seperti kapasiti tangki bahan api 16.5 liter, berat 201 kg dan ketinggian pelana 845 mm.