DUCATI Tak Akan Lalai - Gigi Dall'Igna
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/17/20251 min read


BOS Ducati Corse, Gigi Dall’Igna menegaskan pengeluar itu tidak boleh berfikir untuk bersenang lenang hasil keputusan cemerlang diperoleh setakat ini pada kempen 2025.
Kemenangan di Grand Prix (GP) Qatar 2025 menyaksikan pengeluar Itali itu sudah merekodkan 21 kemenangan secara berturut-turut, kejayaan yang berlarutan sejak musim lalu.
Kali terakhir mereka tidak berada di podium sebagai juara adalah ketika GP Amerika Syarikat pada musim lalu yang dimenangi jaguh Aprilia yang kini bersama KTM, Maverick Vinales.
Teruja dengan pencapaian yang dilakar anak buahnya, Dall’Igna begitupun mengakui yang pengeluar lain sudah mula menjadi 'menakutkan' berdasarkan prestasi yang mereka tampilkan terutama ketika di Qatar.
Ducati hampir 'kehilangan' tempat kedua di Losail selepas Maverick Vinales melepasi garisan penamat di tempat kedua sebelum keputusan itu ditarik balik susulan penalti.
"Kemenangan ini, yang ke-21 berturut-turut, diraih hasil pertarungan sengit dengan pencabar yang mula menunjukkan betapa menakutkan mereka," kata Dall’Igna.
"Satu kejayaan yang, dengan melihat bagaimana ia berlaku, mengingatkan kami agar tidak sesekali berasa terlalu selesa atau cuai."
Dall’Igna dalam pada itu melabel prestasi Marquez di Qatar sebagai 'tiada perbadingan' dan turut memuji pencapaian yang diraih Bagnaia.
Ducati pada musim ini menyapu bersih keempat-empat kemenangan yang ditawarkan dengan kesemuanya didominasi pasukan 'kilang', Ducati Lenovo.
Selepas 4 pusingan, Marc Marquez merangkul 3 kemenangan GP dan 4 gelaran juara pada aksi Sprint dengan Pecco Bagnaia meraih satu kemenangan di perlumbaan GP di Austin.
