DUCATI Tak Boleh Selesa, Marc Marquez Akui Ancaman Aprilia Makin Besar
Sekalipun berjaya mengharungi 14 kemenangan secara berturut-turut, Marc Marquez yang juara dunia lapan kali itu melabel prestasi semasa Aprilia sebagai 'menakjubkan' dan memberi amaran kebangkitannya
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/2/20251 min read


PELUMBA bintang Ducati Lenovo, Marc Marquez mengakui ancaman daripada pengeluar Itali, Aprilia semakin membimbangkan.
Sekalipun berjaya mengharungi 14 kemenangan secara berturut-turut, juara dunia lapan kali itu melabel prestasi semasa Aprilia sebagai 'menakjubkan' dan memberi amaran kebangkitan mereka.
Bercakap kepada TNT Sport, Marquez berkata, Ducati perlu sentiasa berwaspada.
"Buat masa ini, nampaknya Aprilia semakin hampir dan hampir," kata Marquez. "Walaupun jentera kami berfungsi dengan sangat baik dan kami terus menang, kita tidak boleh leka."
Kebimbangan Marquez sememangnya berasas, terutamanya selepas melihat prestasi konsisten yang dipamerkan oleh pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi.
Aprilia pada musim 2025 mempertaruhkan barisan pelumba yang baharu iaitu penyandang juara dunia MotoGP, Jorge Martin dan Bezzecchi.
Sekalipun kempen Martin terjejas akibat kecederaan selain dipalit isu kontrak, Bezzecchi berjaya mengisi kekosongan berkenaan malah tetapi berjaya meraih memenangannya di Grand Prix British selain menjadi tetap penghuni podium dalam beberapa perlumbaan terakhir.
Di Grand Prix Austria dan Hungary baru-baru ini, Bezzecchi berjaya mendahului perlumbaan sebelum menamatkannya di tempat ketiga, membuktikan jentera Aprilia RS-GP kini mampu bersaing di litar yang berbeza.
"Di litar (Hungary) yang biasanya memerlukan kelajuan di selekoh, Marco menunggang dengan sangat baik. Perkara paling penting ialah mereka semakin meningkat," kata Marquez.
Pusingan ke-15 MotoGP dijadual berlangsung di Litar Catalunya, Barcelona yang juga litar secara tradisinya dianggap sebagai salah satu litar 'lemah' buat Marquez. Sejak 2013, beliau hanya menang dua kali di sini (2014 dan 2019).
Sebaliknya, Barcelona adalah gelanggang yang sangat digemari Aprilia.
