DUCATI Tak 'Goyang' Jika 'Terlepas' Gigi Dall’Igna Kepada Honda

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/25/20231 min read

HONDA berupaya menawarkan gaji bertaraf 'mega' untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan termasuk bos MotoGP Ducati, Gigi Dall’Igna, akur Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali.

Dalam satu temuramah bersama La Repubblica, Domenicali mengakui Dall’Igna berkemungkinan terpikat dengan tawaran menarik daripada syarikat pengeluar motosikal gergasi Jepun itu.

Tetapi tegasnya, potensi itu bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana formula kejayaan Ducati bukan terletak kepada seorang individu.

"Dia (Dall'Igna) adalah bintang dalam bidangnya. Kami amat selari. Saya berharap dia akan kekal dengan kami sampai bila-bila," kata Domenicali.

"Tetapi saya tidak menolak yang satu hari nanti Honda mungkin menawarkan tawaran mega.

"Tetapi Gigi tidak mengetahui segala rahsia formula magis Ducati. Ada beberapa rahsia yang betul-betul disimpan di bawah tanah Borno Panigale.

"Formula kemenangan Ducati sama seperti Coca-Cola: Rahsia. Dalam sesebuah syarikat, semua orang mengetahui sebahagian daripada resipi. Tetapi tiada siapapun tahu segala ramuannya."

Tetapi hakikat yang perlu diakui adalah Dall’Igna merupakan 'Otak' kepada projek Desmosedici dan berjaya membawa Ducati dari peringkat terendah dalam MotoGP sebelum berjaya meraih gelaran dunia berganda menerusi Francesco Bagnaia.

Honda ketika ini berdepan masalah terutama di pentas MotoGP dan berusaha untuk mengembalikan kegemilangan termasuk menarik muka-muka penting dalam arena berkenaan.

Sebelum ini, Dall’Igna mendedahkan dia pernah 'dipancing' Honda namun memilih untuk kekal bersama Ducati.

"Saya bekerja amat keras untuk berada dalam situasi di mana Ducati boleh digambarkan sebagai ikutan, meninggalkannya ketika ini mungkin sesuatu yang tak logik," kata Dall'Igna kepada Gazzetta dello Sport.